Rodrigo Duterte

MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menimbulkan persoalan mengenai kesihatannya beliau memaklumkan telah pergi ke sebuah hospital untuk melakukan ujian, sehari selepas beliau tidak hadir dalam mesyuarat Kabinet dan satu lagi acara.

Duterte telah hilang dari pandangan umum sebelum ini.

Beliau tidak dilihat selama seminggu pada tahun lalu, menyebabkan spekulasi kononnya beliau sakit.
Namun, kerajaan menegaskan spekulasi tersebut tidak berasas.

Tetapi kenyataannya pada awam itu adalah kali pertama – seolah-olah mengesahkan beliau mungkin menghadapi masalah kesihatan.

“Saya tidak tahu secara fizikal, tetapi saya perlu menunggu keputusan.

“Tetapi, saya akan memberitahu jika ia kanser, ia adalah kanser. Jika tahap ketiga, tiada rawatan, saya tidak akan memanjangkan penderitaan di pejabat ini atau di mana-mana sahaja,” kata Duterte pada majlis makan malam yang dianjurkannya untuk tentera dan pegawai polis di Istana Presiden.

Setiausaha Eksekutif, Salvador Medialdea mengesahkan Presiden Filipina itu menjalani kolonoskopi pada hari Rabu.

Prosedur itu dijalankan oleh Presiden setiap tahun.

Beliau menjalani ujian yang sama tiga minggu lalu, tetapi doktornya mahu mendapatkan lebih banyak sampel tisu, kata Duterte.

Jurucakap Presiden, Harry Roque berkata, Duterte tidak hadir dalam mesyuarat Kabinet kerana beliau letih dan mengambil cuti, sekaligus menafikan dakwaan Duterte dimasukkan ke hospital. – MalaysiaGazette