GEORGETOWN – Bekas jurulatih Pahang dan Terengganu, Ahmad Yusof dipilih menjadi jurulatih Pulau Pinang bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dr. Amar Pritpal Abdullah berkata, Ahmad akan dibantu bekas pemain Harimau Kumbang, Manzoor Azwira Abd. Wahid sebagai penolongnya serta pengurus pasukan adalah Ong Eng Hua.

“Sebanyak 80 peratus muka baharu khususnya dalam kalangan pengurusan pasukan akan ditampilkan bagi membimbing skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia negeri.

“Kita yakin barisan yang baharu dibentuk ini terutama untuk skuad Liga Perdana mampu mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya menduduki lima tangga teratas liga,” katanya dalam sidang media di sini, malam tadi.

Amar Pritpal menambah, skuad Piala Belia akan dilatih oleh Hasbul Hasani manakala calon ketua jurulatih untuk skuad Piala Presiden masih belum ditentukan setakat ini.

“Sesi pemilihan pemain secara terbuka juga akan bermula lebih awal iaitu 9 hingga 15 Oktober ini di Padang Polo iaitu dari pukul 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Sementara itu, Amar Pritpal sekali lagi mengulangi janjinya untuk melunaskan segala tunggakan gaji pemain sebelum bermula musim baharu.

Jelas beliau, kerajaan negeri juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM5 juta setahun bagi membiayai ketiga-tiga pasukan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan