Calon Pakatan Harapan P.132 Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada majlis Pertandingan Bola Sepak sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Padang Merdeka, Port Dickson, Negeri Sembilan, foto SYAFIQ AMBAK, 07 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkenaan larangan operasi khalwat perlu dilihat dalam konteks yang sebenar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Presiden PKR itu berkata, kenyataan Ahli Parlimen Amanah Parit Buntar itu sekadar merujuk kepada tindakan undang-undang dan  sama sekali tidak membawa maksud menggalakkan perbuatan maksiat berleluasa.

“Tengok konteks la, baca betul-betul, baca konteks, dia tak galakkan.. dia cuma kata tindakan undang-undang itu macam mana.

“Kita tidak galakkan, perkara yang maksiat tetap maksiat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Calon Pakata Harapan Pilihan Raya Kecil Port Dickson itu hadir merasmikan Pertandingan Bola Sepak 7 sebelah Piala YB M.Ravi 2018 melibatkan 24 pasukan anak muda tempatan di Padang Merdeka di sini.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, M.Ravi dan exco negeri Perak, Abdul Aziz Bari.

Semalam, Naib Presiden Amanah itu berkata, kenyataannya telah dimanupilasi oleh akhbar The Star.

Mujahid berkata, beliau hanya menyebut tentang salah guna kuasa penguatkuasaan di ruang peribadi yang tidak mengikut kaedah atau cara Islam.

Dalam perkembangan sama Persatuan Majlis Peguam Syarie Malaysia turut menyatakan kekesalan pada kenyataan awal Mujahid bahawa ia akan mengakibatkan perbuatan berzina dan berkhalwat akan berleluasa.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan