Mohamad Ezam Mohd Nor
Mohamad Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Hisbah Malaysia (Hisbah) menerima dua aduan tentang dakwaan berlaku penylahgunaan aset dan jentera kerajaan khususnya dalam sesi kempen calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, pertubuhannya memandang serius perkara itu kerana ia dibuat terhadap suami kepada Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendokong sebuah kerajaan baharu yang membuat komitmen melaksanakan reform dan pembaharuan.

Katanya, negara dan rakyat Malaysia baharu sahaja keluar daripada sebuah pentadbiran yang melakukan banyak kesalahan besar menyalahgunakan pengaruh dan kedudukan membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Apakah rakyat harus hadapi kisah yang sama membabitkan Timbalan Perdana Menteri dan suami? Kisah keluarga yang berkuasa dan berkepentingan.

“Dalam laporan terperinci termasuk gambar yang sebahagiannya tular di media sosial, Anwar dilaporkan menggunakan sekurang-kurangnya empat jet pesawat peribadi kepunyaan empat ahli perniagaan besar dalam perjalananan dalam dan luar negeri sejak isterinya menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Anaknya, Nurul Izzah yang juga seorang Ahli Parlimen juga disebut dalam laporan itu secara berasingan menggunakan pesawat peribadi kepunyaan ahli perniagaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Mohamad Ezam berkata, lebih mengejutkan apabila sebuah daripada pesawat peribadi itu adalah kepunyaan keluarga seorang ahli perniagaan yang terkenal dalam aktiviti perjudian dan pernah dihukum tahun lepas kerana terlibat dalam aktiviti perjudian.

Jelas beliau, laporan Hisbah juga mendapati Anwar menggunakan aset berupa sebuah rumah banglo yang mempunyai 25 bilik di kawasan perumahan mewah di Petaling Jaya dan menjadikan aset itu sebagai pejabat peribadi beliau sejak beberapa bulan ini.

“Amat malang sekiranya laporan ini benar kerana ianya bukan sahaja akan menjejaskan reputasi sebuah kerajaan baharu yang mahu melaksanakan reform, malah akan mewujudkan persoalan pertindihan kepentingan yang merupakan perkara asas dalam urustadbir baik sebuah pentadbiran yang pro reform.

“Kita minta kerajaan hari ini mengambil serius perkara ini dan melakukan langkah pembetulan segera demi nama baik kerajaan baru yang berteraskan reform ini,” katanya. – MalaysiaGazette