Lim Guan Eng
Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng

PORT DICKSON – Setiasuasa Agung DAP, Lim Guan Eng meminta masyarakat berbilang kaum di Port Dickson supaya memberi mesej kepada seluruh negara dan dunia untuk menjulang Anwar sebagai wakil rakyat dan mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 13 Oktober ini penting untuk menjamin sebuah kerajaan yang bersih dan telus.

“Saya datang dan berdiri di sini bersama barisan kepimpinan PH supaya tuan tuan menyokong Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai wakil rakyat dan bakal Perdana Menteri nanti.

“Kepimpinan PH adalah masa depan negara dan anak anak kita, untuk membina sebuah negara baharu dan berjaya kepimpinan Tun M dan Kak Wan (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) kita mahu memastikan memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kami kerajaan baharu tidak mahu menipu diri sendiri dan rakyat seperti yang dilakukan kerajaan terdahulu dengan menekan rakyat sehingga meninggalkan rizab negara sekadar RM450 juta sahaja.

“Saya semasa mengambil alih Pulau Pinang ditinggalkan dengan hutang defisit RM800 juta oleh BN pada tahun 2008, tetapi ketika saya meninggalkan negeri itu untuk ke Pusat, kita tinggalkan rizab RM2 bilion dengan hutang juga dikurangkan lebih 90 peratus untuk diteruskan demi kesejahteraan rakyat.

“Apabila masuk kerajaan Pusat wang yang ditinggalkan BN hanya RM450 juta sahaja sehingga tidak tahu untuk menguruskan kerajaan, nasib baik di bawah kepimpinan Tun M kita masih mampu bayar gaji penjawat awam dan pencen,” katanya berucap di Ceramah Mega Tun M Anwar di malam tadi.

Tambah Menteri Kewangan itu, kerajaan PH masih dapat menguruskan kerajaan dengan rizab wang yang sedikit kerana kebijaksanaan dan inklusif Mahathir.

“Tun selalu cakap kita kena bersih, kalau rasuah tidak ada kemaafan. Orang yang macam mana susah pun, kalau kita bersih kita boleh cari wang untuk bayar gaji kakitangan kerajaan.

“Inilah barisan yang bersih yang diberi mandat oleh kuasa rakyat apabila menumbangkan kerajaan dahulu.

“Kita bersih dan ikhlas mahu menubuhkan sebuah negara baharu, bukan untuk diri sendiri tetapi unruk anak kita,” ujarnya.

Guan Eng juga mengharapkan rakyat supaya memahami bahawa bukan semua perkara dalam manifesto PH mampu dilaksnakan serta merta.

“Kalau kewangan baik dan mengizinkan, saya percaya dan sangat yakin bahawa Malaysia jadi lebih baik dan harapan untuk semua.

“Jadi janganlah beremosi apabila menerima propaganda mengenai calon kita bermacam macam termasuk dia tidak layak bertanding dan sebagainya walaupun sudah diberi pengampunan.

“Mari kita angkat Anwar sebagai pemimpin dengan sokongan majoriti anda semua,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan