PORT DICKSON – Beberapa pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mendakwa Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, 13 Oktober depan bakal ditentukan oleh sebuah persatuan tidak rasmi yang meliputi bekas-bekas tentera.

Menurut Kapten (B) Loo Choo Chew, 60, mereka kecewa dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang bertindak ingin memberikan laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Choo Chew berkata persatuan tidak rasmi yang digelar ‘YY Connection’ itu boleh dianggap sebagai penentu samada Anwar layak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

Dakwa beliau, kumpulan itu disertai seramai 9,000 ahli sekaligus boleh menjadi kuasa penentu di Port Dickson.

“Datuk Seri Anwar tidak akan dapat sokongan yang kuat dan tidak dapat menang majoriti sebanyak 18,000 undi.

“Pada pendapat saya, jumlah undi kali ini tidak akan lebih 38 peratus sahaja,” katanya dalam satu sidang media di rumahnya di Lukut, Port Dickson.

MGF09102018_SIDANG MEDIA BEKAS TENTERA_03Malah mereka turut kecewa dengan pasukan Anwar yang terlalu sombong dan mengatakan Anwar akan tetap menang membuatkan persatuan ini bertindak menolak beliau.

“Kami bukan ke arah Isa Samad tetapi pada hari pertama berkempen, pasukan Anwar berlagak sangat.

“Mereka kata Anwar tutup mata dan baring pun boleh menang. Mereka anggap pengundi Port Dickson bodoh. Tetapi saya rasa kali ini mungkin ada kejutan yang berlaku oleh kerana hanya ‘YY Connection’ menentukan calon boleh menang,” katanya.

Dalam pada itu, Mejar (B) Abdullah Jani, 65 tahun berkata, persatuan itu amat kecewa dengan tindakan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, yang meletakkan jawatan setelah mendapat sokongan undi bekas tentera di Port Dickson.

“Dulu (Datuk) Daniyal bertanding dan dia perlu sokongan untuk bertanding tetapi oleh kerana kita punyai hubungan kuat di PD, kita kempen untuk dia.

“Mereka kecewa sebab Ahli Parlimen Datuk Daniyal sebelum ini tidak pernah ambil tahu dan nak jumpa pun payah.

“Kita meletakkan harapan kepada beliau kerana dia bekas tentera untuk bantu pengundi kerana kawasan ini banyak bekas tentera. Kita anggap dia sebagai pengkhianat. Jadi itu kami kecewa dengan calon PH sebab takut pisang berbuah tiga kali,” tambah beliau.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membuka jalan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas. -MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan