Kerja-kerja pembinaan ketika tinjauan Lensa MalaysiaGazette pada Majlis Pelancaran Kerja Pembinaan Terowong MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya di Stesen MRT Bandar Malaysia, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAC 2018
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Salah seorang daripada ribuan pekerja Transit Aliran Massa Jajaran 2 (MRT2), Justin Chin Jing Ho yang meluahkan rasa kecewa dengan penamatan projek tersebut Ahad lepas dinasihati cari kerja lain jika syarikat itu menamatkan perkhidmatannya.

Tony Pua yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata dalam surat terbuka kepada MMC-Gamuda, bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh Justin Chin sebenarnya mampu dikembangkan di syarikat lain.

“Kepada graduan kejuruteraan kelas pertama berusia 26 tahun itu, saya memahami pergolakan yang sedang anda hadapi dalam kehidupan pada masa ini malah ini bukan salah anda.

“Tetapi, seandainya Gamuda membuat keputusan untuk tidak kekalkan khidmat anda, mereka sebenarnya yang rugi kerana anda akan boleh membina kerjaya yang lebih cemerlang di banyak syarikat lain ,” katanya.

Sebelum ini, Justin menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa bimbang dan kecewa seandainya kehilangan kerja bukan sahaja dirinya malah rakan-rakan lain.

Kata Justin, dirinya serta rakan-rakan lain mengundi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan harapan Malaysia Baharu tetapi kini sangkaan itu seolah-olah meleset.

“Apa jawapan saya kepada rakan-rakan saya yang tidak henti-henti menghantar pesanan kepada saya sejak pengumuman Ahad lepas. Ada antaranya adalah ibu tunggal. Saya tidak tahu apa yang perlu saya jawab.

“Rata-rata kami telah mengundi anda (PH) dengan harapan Malaysia Baharu. Kami undi anda (Tun Mahathir). Kami undi Malaysia yang lebih baik,” luah Justin.

Justin turut mendakwa dirinya telah menolak pekerjaan di luar negara yang mempunyai gaji jauh lebih lumayan kerana memilih untuk bekerja untuk negara sendiri.

“Saya buat keputusan tak guna logik dan ikut kata hati untuk kembali berkhidmat kepada negara tercinta Malaysia dan terlibat dalam pembangunan negara yang saya panggil rumah ini. Saya pilih untuk tidak jadi sebahagian jumlah kehilangan bakat Malaysia,” katanya.

Bukan sahaja Justin malah ramai lagi yang meluahkan rasa bimbang, kecewa dan marah sejurus selepas pengumuman oleh Guan Eng berhubung penamatan kontrak kerajaan dengan MMC-Gamuda Ahad lepas.

Pekerja projek MRT2 lain juga menggunakan hashtag #prayforMRT di media sosial untuk meluahkan kebimbangan tentang masa depan mereka.

Dalam pada itu, Pua juga memberi jaminan terutamanya kepada ‘mangsa’ 20,0000 pekerja yang berhadapan dengan kehilangan kerja, bahawa kerajaan belum membatalkan projek tersebut.

“Anda akan temui lebih banyak lubuk rezeki dengan projek baru yang akan dijalankan dengan kos yang jauh lebih rendah, penjimatan yang diperolehi bermakna akan ada lebih banyak projek pada masa hadapan sekaligus lebih banyak peluang pekerjaan.

“Daripada memulakan petisyen di Change.org bagi mendesak kerajaan tarik balik keputusan batal kontrak adalah lebih bermanfat jika mulakan petisyen desak bos-bos anda di MMC-Gamuda untuk beri tawaran lebih baik kepada kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan