Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad beramah mesra dengan sebahagian mantan ketua kampung pada Perjumpaan Mantan Ketua Kampung sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Restoran Citarasa Kampung, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Isa Samad tidak menyangka ada pihak yang sudi untuk menyokong beliau sebagai calon.

Menurut Isa, sokongan itu amat bererti buat dirinya memandangkan alasan yang diberikan kerana beliau adalah orang tempatan dan kecewa dengan bekas Ahli Parlimen terdahulu, Datuk Daniyal Balagopal Abdullah.

“Itu suatu yang amat saya suka, macam orang mengantuk disorongkan bantal.

“Orang nak beri sokongan saya ucapan terima kasih kepada mereka sekiranya ingin membantu saya,” katanya dalam sidang media selepas menemui Persatuan Mantan Ketua Kampung dan JPP di Lukut hari ini.

Semalam, pertubuhan tidak rasmi yang disertai 9,000 pengundi Port Dickson secara terang terangan memberikan sokongan padu kepada Isa.

Ujar mereka, rasa kecewa terhadap Daniyal membuak-buak apabila beliau disifatkan mengkhianati amanah yang diberikan bekas tentera dengan memberikan laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memasuki semula Parlimen.

Persatuan tersebut dikenali sebagai ‘YY Connection’ itu disertai bekas tentera, nelayan dan para profesional yang merupakan pengundi di Port Dickson.

MGF10102018_ISA SAMAD BERSAMA MANTAN KETUA KG05
Calon Bebas, Tan Sri Isa Samad bercakap pada Perjumpaan Mantan Ketua Kampung sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Restoran Citarasa Kampung, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OKTOBER 2018.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menafikan beliau bertanding sebagai calon bebas kerana menjadi agen kepada UMNO.

“Tidak (bukan agen UMNO), kerana saya tidak dicadangkan oleh UMNO oleh kerana parti tidak bertanding. Saya pun dah tidak menjadi ahli UMNO, maka soal jadi agen itu tidak timbul.

“Cuma masa kempen ini saya mohon kepada semua pihak termasuk ahli UMNO, takkan dengan ahli UMNO yang pernah saya pimpin dulu saya tidak boleh minta tolong,” katanya.

Isa berkata demikian merujuk kepada kenyataan bekas menteri, Datuk Zainuddin Maidin yang mendakwa beliau mengambil keputusan untuk bertanding kerana disokong oleh UMNO.

Ahad lalu, menerusi Twitter, Zainuddin berkata ‘Tidakkah anda memikirkan Isa Samad adalah calon UMNO yg menyamar.

“Beliau seorang yang setia pada UMNO. Jika UMNO bertanding dan kalah lagi maka semakin teruk imej UMNO. Maka itu orang2 UMNO secara senyap sedang membantu Isa. Strategi yg bijak.

Dalam perkembangan berkaitan, Isa berkata, peratusan keluar mengundi awal yang rendah semalam perlu diberikan perhatian.

Ujarnya, 63 peratus undi awal itu tidak seharusnya berlaku kerana sebelum ini undi pihak anggota beruniform tidak pernah serendah itu.

“Selalunya ATM dan PDRM ini peratusan undinya agak tinggi kerana mereka mudah diminta mengundi.

“Tentera ini operasi mereka yang tentukan, mungkin ada hal tertentu. Saya tidak sempat tanya mengapa peratusan rendah di mana cuma 63 peratus,” katanya. -MalaysiaGazette

  http://malaysiagazette.com/blog/2018/10/09/yy-connection-penentu-prk-port-dickson/

Tinggalkan Jawapan