Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semakan secara berterusan ke atas dasar gaji minimum dan pembentukan Indeks Gaji Kebangsaan akan dilaksanakan.

Perbezaan kadar gaji minimum antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah dilaksanakan apabila mulai 1 Januari tahun depan, gaji minimum diseragamkan kepada RM1,050.

Perdana Menteri berkata, perluasan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti juga dipergiatkan.

Ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mereformasi pasaran buruh ke arah mewujudkan
pekerjaan berkemahiran yang menawarkan gaji yang tinggi, dengan menggalakkan automasi dan inovasi, menerima guna teknologi baharu serta mengkomersialkan harta intelek.

Pelaburan berkualiti tinggi juga akan diberi keutamaan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan
berkemahiran.

“Penyediaan pekerja dan golongan profesional adalah sangat penting menghadapi gangguan yang bakal dibawa oleh Revolusi Perindustrian Keempat.

“Revolusi ini akan menghapuskan banyak jenis pekerjaan seperti buruh manual dalam sektor pembuatan, tetapi juga akan mencipta peluang pekerjaan baharu seperti penyelenggaraan dan kejuruteraan robotik dan automasi, kata Perdana Menteri.

Tambahnya. kerajaan berazam untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui penambahbaikan pengurusan pekerja asing.

Antara langkah yang dicadangkan adalah mengenakan levi berperingkat yang progresif berasaskan kepada jumlah pekerja asing yang digaji.

Di samping itu, kerajaan akan mengukuhkan hak pekerja dan meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh bagi menambah baik kecekapan dan produktiviti buruh.

Dr Mahathir berkata, semakan secara berterusan ke atas dasar gaji minimum dan pembentukan Indeks Gaji Kebangsaan akan dilaksanakan.

Perbezaan kadar gaji minimum antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah dilaksanakan apabila mulai 1 Januari tahun depan, gaji minimum diseragamkan kepada RM1,050.

Hak pekerja akan diperkukuh melalui kajian semula undang-undang perburuhan dan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan yang menyeluruh.

Pekerja yang diinsuranskan akan menerima manfaat yang merangkumi elaun mencari pekerjaan, latihan, penempatan pekerjaan dan kaunseling kerjaya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan