Najib Tun Razak
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka berdepan beberapa lagi pertuduhan baharu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor akhbar New Straits Times (NST).

Pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri itu dijangka dilakukan minggu ini, melibatkan dakwaan transaksi syarikat International Petroleum Investment Co (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi.

Menurut akhbar itu, sumber dilaporkan berkata, peranan Najib dalam transaksi berkenaan sedang dikaji dan mungkin empat pertuduhan baru dikenakan berhubung penyelesaian bayaran hutang firma itu tahun lalu.

Laporan itu turut menyebut transaksi berkenaan boleh mengundang kesalahan jenayah pecah amanah dan bahan siasatan telah diserah kepada pejabat Peguam Negara.

Najib adalah Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sehingga ia dibubarkan pada Mei 2016, apabila Kementerian Kewangan mengambil alih baki asetnya.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, kes itu dalam siasatannya termasuk sedang meneliti bagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyelesaikan hutang menggunakan wang negara dan siapa yang memberi kebenaran itu, yang didakwa “tanpa kelulusan kabinet”. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan