Mevlut Cavusoglu
Mevlut Cavusoglu

ANKARA – Suspek pembunuh Jamal Khashoggi perlu menjalani perbicaraan di Turki seperti termaktub dalam Konvensyen Vienna, kata Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu.

Turki tidak merancang untuk membawa kes pembunuhan wartawan Arab Saudi itu ke mahkamah antarabangsa namun ia akan berkongsi maklumat jika siasatan antarabangsa dilakukan, katanya semasa sidang media bersama Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki.

Cavusoglu berkata, negaranya telah berkongsi maklumat dengan beberapa pihak yang mahukan maklumat tambahan, lapor akhbar Hurriyet.

“Masih terdapat soalan yang perlu dijawab,” katanya sambil meminta Arab Saudi menjelaskan mengapa terdapat 18 individu ditahan.

Menteri Luar itu menggesa Arab Saudi menyediakan jawapan siapa yang mengarahkan pembunuhan Khashoggi dan apa yang telah berlaku dengan mayatnya.

“Siapa yang memberi arahan? Dimanakah mayatnya? Anda mengaku anda melakukannya tetapi mengapa mereka tidak menyatakan di mana? Keluarganya juga mahu tahu dan memberi penghormatan terakhir,” kata Cavusoglu.

“Kami telah berkongsi beberapa maklumat dan mendapati pihak pendakwa telah mebenarkan kami untuk berkongsi, yang mana ia sah untuk berkongsi dengan mereka yang mencari maklumat tambahan,” katanya ketika ditanya sama ada Turki berkongsi bukti dengan negara lan.

Ditanya samada Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA) telah memperoleh rakaman audio pembunuhan Khashoggi, menteri itu berkata, beliau ‘tidak boleh memjawab soalan yang spesifik’.

“Anda perlu tanya ketua risikan kami,” katanya sambil menambah Turki akan ‘berkongsi dokumen dan bukti yang ada padanya dengan negara-negara dan instutusi-institusi yang mahukannya’ selaras dengan kebenaran pihak pendakwaan Istanbul.

Pengarah CIA, Gina Haspel telah mendengar rakaman audio kritikan Khashoggi terhadap Arab Saudi semasa lawatannya ke Turki minggu ini, lapor The Washington Post dan Reuters.

Pada 20 Oktober lalu, sebelum melakukan lawatan, Pengarah CIA itu dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberitahu wartawan bahawa mereka tidak mendengar sebarang rakaman. – Agensi

Tinggalkan Jawapan