bekas pegawai polis tertinggi Sri Lanka ditahan reman sehingga 7 November atas dakwaan cuba merancang bunuh presiden sri lanka

COLOMBO – Sri Lanka menahan bekas Pengarah Bahagian Siasatan Keganasan negara itu kerana disyaki merancang membunuh Presiden Maithripala Sirisena, lapor Reuters hari ini.

Jurucakap Polis Sri Lanka berkata, rancangan itu adalah bagi menimbulkan ketegangan antara Sri Lanka dan India selepas laporan akhbar India mendakwa Sirisena menuduh agen perisikan India terlibat dalam rancangan tersebut.

Bagaimanapun New Delhi dan Colombo menafikan laporan itu.

“Bahagian Siasatan Jenayah Polis hari ini menahan Nalaka De Silva selepas lima hari menjalankan soal siasat ke atas pegawai kanan itu,” kata jurucakap polis, Ruwan Gunasekara.

Kata Gunasekara, Silva dituduh merancang membunuh presiden, beberapa pegawai polis kanan dan bekas setiausaha Pertahanan negara itu.

Majistret mengarahkan Silva yang merupakan bekas Timbalan Ketua Polis direman sehingga 7 November ini untuk membantu siasatan.

Pemberi maklumat kepada polis dalam sidang media khas menuduh Silva.

Penyiasat menagih akses untuk memadam data daripada telefon bimbit pemberi maklumat dengan bantuan syarikat Huawei selepas mahkamah membenarkan pihak berkuasa mendapatkan bantuan syarikat telekomunikasi itu.

Bagaimanapun jurucakap Huawei berkata, syarikatnya tidak menerima sebarang permintaan dari Sri Lanka dan enggan mengulas lebih lanjut mengenainya. – Agensi

Tinggalkan Jawapan