Xavier Jayakumar
Xavier Jayakumar. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan beberapa kawasan terpilih di seluruh negara akan direhabilitasi menjadi kawasan hutan dalam langkah kerajaan ‘menghijaukan’ separuh daripada keluasan tanah negara.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, selain mewujudkan kawasan hutan simpan kekal baharu, kerajaan turut bercadang melancarkan program besar-besaran seluruh negara untuk memulihkan tanah terbiar sebagai kawasan ekonomi baharu berasaskan Pengurusan Hutan Lestari dengan melibatkan antaranya badan korporat dalam masa terdekat.

“Kita akan adakan sistem di mana kita boleh gunakan tanah-tanah terbiar ini dan tanam pokok yang dikehendaki siapa-siapa pun yang berminat untuk melabur, mungkin untuk kitaran lima tahun atau 10 tahun sebelum tanah diguna pakai balik, ini untuk kita dapatkan dana daripada tanah kita.

“Pada masa sama, ada tanah-tanah di ‘central spine’ kita yang hilang, kawasan-kawasan ini akan ditanam sebagai kawasan hutan kekal dan tidak boleh dibalak sebagai hutan diuruskan secara lestari,” katanya ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Xavier berkata, berdasarkan statistik terkini, hanya 43.8 peratus daripada keluasan tanah negara diliputi hutan.

“Sepatutnya kita kena ada 50 peratus jadi untuk kembalikan balik kawasan hutan ini ke 50 peratus, kena pakai dua-dua rancangan ini,” katanya. – Bernama

Tinggalkan Jawapan