Orang ramai mengambil kesempatan membeli-belah semasa jualan murah.

KUALA LUMPUR – Prospek ekonomi Malaysia kekal kukuh dalam jangka masa terdekat walaupun pelbagai halangan luar dan domestik.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar bagi tahun 2018 dan 2019 dijangka berkembang 4.8 peratus dan 4.9 peratus.

Tinjauan Ekonomi 2019 berkata, perbelanjaan sektor swasta khususnya perbelanjaan isi rumah akan kekal menjadi pemacu pertumbuhan berikutan peningkatan berterusan guna tenaga dan gaji dalam keadaan inflasi yang rendah.

Pelaburan swasta pula akan disokong oleh pelaksanaan projek baharu yang masih berterusan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Perbelanjaan awam dijangka meningkat secara marginal pada tahun 2018 dan menguncup pada tahun depan berikutan perbelanjaan modal yang lebih rendah oleh syarikat awam.

Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dijangka kekal sebagai penyumbang terbesar pertumbuhan ekonomi.

Subsektor borong, runcit dan kewangan dan insurans serta informasi dan komunikasi mendapat manfaat daripada perbelanjaan pengguna yang menggalakkan.

Sektor pembuatan dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh didorong pertumbuhan baik dalam elektrik dan elektronik (E&E).

Sektor pertanian dan perlombongan dijangka kembali berkembang pada tahun depan berikutan peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah dan gas asli cecair (LNG) selepas merosot secara marginal tahun ini.

Manakala sektor pembinaan dijangka sederhana berikutan projek infrastruktur yang hampir selesai dan hartanah tidak terjual terutama segmen bukan kediaman.

Kedudukan sektor luar Malaysia dijangka kekal kukuh seiring dengan prestasi ekonomi dan perdagangan global yang menggalakkan.

Namun eksport dijangka sederhana disebabkan perdagangan global dan aktiviti pelaburan lebih perlahan.

Pada masa sama, akaun semasa dijangka kekal lebihan walaupun semakin mengecil ekoran peningkatan defisit dalam akaun perkhidmatan dan pendapatan. – MalaysiaGazette.

Tinggalkan Jawapan