Foto Laman Rasmi Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya mendapat tonik awal sebelum memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2018 selepas mudah menewaskan Maldives 3-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa  ‘A’ di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Berlangsung dalam keadaan padang basah dan hujan renyai-renyai itu, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati di awal perlawanan.

Namun penyerang Mohamad Zaquan Adha Abdk Razak membuka gol pembukaan hasil gerakan Norshahrul Idlan Talaha yang bijak melakukan hantaran ke dalam kawasan penalti.

Namun dalam tempoh seminit kemudian, pasukan pelawat yang terkenal dengan jolokan ‘The Red Snapper’ itu hampir menyamakan kedudukan apabila rembatan Ali Fasir hasil dari satu serangan balas berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Keputusan 1-0 kekal sehingga separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, jurulatih Tan Cheng Hoengeluarkan p Zaquan Adha dan memasukan penyerang sensasi kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid.

Pemain JDT itu membuktikan bisanya apabila berjaya menyumbat gol kedua negara pada minit ke-80 dengan satu libasan kencang berpunca daripada satu sepakan sudut yang gagal ditumbuk keluar oleh penjaga gol Maldives, Hussain Shareef.

Penyerang naturilisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh melengkapkan malam gemilang Harimau Malaya apabila gerakan solonya berjaya disudahkan dengan satu rembatan menggegarkan gawang Maldives pada masa kecederaan untuk jaringan ketiga skuad kebangsaan.

Maldives, selaku juara Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF), September lalu, menghuni ranking ke-151 dunia manakala Malaysia berada di kedudukan ke-169.

Kemenangan tersebut memberi suntikan motivasi untuk skuad negara menjelang perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF menentang Kemboja di Phnom Penh, Khamis ini. – MalaysiaGazette