Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Ramai pihak, termasuk Ahli Parlimen, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) tidak menyokong hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) hendak menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Mereka menyifatkan ICERD akan membawa pelbagai implikasi negatif kepada keadaan demografi rakyat negara ini, di samping memberi ancaman kepada institusi Raja Berperlembagaan.

Menurut Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, ia juga membawa implikasi amat besar kepada negara kerana semua peruntukan perjanjian akan tertakluk kepada kehendak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mengikat kebebasan negara, malah akan dikawal di bawah telunjuk barat.

Katanya, alasan pemansuhan Perlembangaan 153 bagi mencapai perpaduan dengan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera langsung tidak munasabah.

“Saya menyeru kerajaan PH tidak sewenang-wenangnya mempertaruhkan hak orang Melayu Islam dan Bumiputera. Saya yakin jika perjanjian ini diteruskan, satu himpunan besar-besaran akan diadakan bagi membantahnya,” katanya.

Ketua DPPM, Muhammad Khalil Abdul Hadi pula berkata, polemik isu ratifikasi ICERD bermula apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyatakan kerajaan komited meratifikasi konvensyen itu yang selaras dengan manifesto PH.

Kenyataan itu, ujarnya, disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa yang mengatakan hujah golongan yang menentang ICERD hanyalah adu domba dan fitnah.

Terkini, pula katanya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah turut menyifatkan golongan yang menentang ICERD sebagai tidak faham perlembagaan.

“Persamaan ketiga-tiga kenyataan ini adalah apabila semua menteri sudahpun membuat kesimpulan awal bahawa ICERD ini baik, perlu diratifikasi dan sebenarnya telah disalah fahami.

“Persoalannya, apakah asas kepada komen menteri ini? Adakah ianya hanya berdasarkan perspektif peribadi mereka bahawa perjuangan yang dibawa oleh hak asasi manusia daripada barat semuanya baik tanpa mempertimbangkan pandangan Islam dan kesesuaiannya dengan konteks di Malaysia?

“Ini kerana mereka dengan cepat menyatakan komitmen sebelum membuat kerja-kerja lapangan seperti survey terhadap pandangan rakyat, konsultansi bersama pemegang taruh dan mengeluarkan laporan rasmi berkenaan keputusan besar yang mahu dilakukan,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekali pun kerajaan berjanji untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak menerusi meja rundingan, ia adalah suatu janji yang tidak kena kerana alasannya hanya semata-mata untuk menghilangkan kerisauan yang dibangkitkan, bukan membuat pertimbangan rasional dan objektif.

Sementara itu, Ketua Penerangan DPPM, Hishamuddin Abdul Karim berkata, keputusan kerajaan PH untuk meratifikasi ICERD adalah sikap unilateral, tanpa merundingkannya dengan pelbagai pihak terutama Raja-raja Melayu.

“Juga dengan golongan rakyat terbesar sebagai pemegang taruh utama hal ini sebelum pelaksanaan yang bakal menyentuh sensitiviti survival Islam dan Melayu di tanah air ini,” ujarnya.

Kata beliau, hasrat itu jelas membelakangkan Raja-raja Melayu selaku Ketua agama Islam di peringkat negeri dan Persekutuan.

Menurutnya, ratifikasi ICERD diusahakan secepatnya tanpa rundingan, persetujuan mahu pun perkenan Raja-raja Melayu atau Majlis Raja-raja, sedangkan isu itu cukup kritikal dan memberi impak ke atas survival negara bangsa Malaysia. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan