KUALA LUMPUR – Petronas, melalui anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd (PLL), menyelesaikan perkhidmatan ‘Gassing Up and Cooling Down’ (GUCD) komersial pertamanya di terminal Gas Asli Cecair (LNG) Bintulu baru-baru ini.

GUCD adalah perkhidmatan khusus untuk membawa tangki simpanan oleh kapal LNG, selepas dok kering, kepada persekitaran biasa dan kemudian menyejukkannya sehingga suhu kriogenik (-160 darjah Celsius) sebelum memuatkan ke kargo seterusnya.

Dalam kenyataan, syarikat minyak dan gas itu berkata, kapal berkenaan, Singapore Energy, berlabuh di terminal LNG Bintulu, selepas tiba dari Linggi (di pesisir Selat Melaka), dan menyelesaikan operasi penyejukan secara lancar dalam tempoh kira-kira 11 jam.

“Kejayaan perkhidmatan GUCD meletakkan Bintulu sebagai antara hab LNG utama, memandangkan hanya beberapa sahaja terminal di dunia yang menawarkan kemudahan ini.

“Perkhidmatan ini ditawarkan pada kadar yang menarik oleh Bintulu Port kepada pengendali dan pemilik kapal LNG,” menurut Petronas.

LNG bagi perkhidmatan ini dibekalkan dari Kompleks LNG Petronas di Bintulu.

Naib Presiden Petronas bagi Pemasaran dan Dagangan LNG, Ahmad Adly Alias berkata kerjasama dengan Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB), anak syarikat Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) serta Lembaga Pelabuhan Bintulu akan meningkatkan portfolio perkhidmatan Petronas dalam rantaian nilai LNG bersepadu.

“Susulan perjanjian yang ditandatangani tahun lepas antara BPSB dan PLL, kami meningkatkan usaha untuk menghimpunkan minat pengendali dan pemilik kapal supaya menggunakan perkhidmatan ini di Bintulu.

“Berdasarkan kadar menarik yang ditawarkan BPSB, kami yakin perkhidmatan GUCD akan menarik lebih banyak pengendali dan pemilik kapal LNG berlabuh di terminal LNG Bintulu,” katanya.

Petronas, peserta LNG global bersepadu dengan lebih 35 tahun pengalaman, memiliki reputasi kukuh sebagai penyedia penyelesaian dan pembekal LNG boleh dipercayai. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan