KUALA LUMPUR – Pergerakan ringgit pada minggu depan dijangka dipengaruhi perkembangan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, kata peniaga.

Ketua Strategi Mata Wang dan Penyelidikan Pasaran, FXTM Global, Jameel Ahmad berkata, pergerakan ringgit dan mata wang negara pesat membangun lain akan bergantung kepada reaksi keseluruhan terhadap keputusan Rizab Persekutuan AS berkenaan kadar faedah.

“Sehingga data KDNK dikeluarkan pada Jumaat minggu depan, trajektori dolar AS akan menjadi pengaruh dalam menentukan turun naik pergerakan ringgit Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, data KDNK akan memberi petunjuk terhadap sebarang tanda pertumbuhan perlahan Malaysia – satu daripada pasaran pesat membangun penting di Asia.

Kelembapan pertumbuhan ekonomi telah dialami oleh pasaran pesat membangun lain pada beberapa bulan kebelakangan ini, kesan daripada ketidaktentuan luaran yang berlanjutan, malah turut menghalang pelabur daripada melabur dalam pasaran pesat membangun, katanya.

Sementara itu, Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata ringgit dijangka mencecah paras 4.20 berbanding dolar AS pada minggu-minggu akan datang kerana unit tempatan terus bergelut disebabkan perbezaan dasar Bank Negara Malaysia dan Rizab Persekutuan AS.

“Paras sokongan ringgit minggu depan pada 4.16 berbanding mata wang negara maju itu, manakala paras rintangan pada 4.20. Jangkaan paras rintangan 4.20 itu tiba hampir sebulan lebih awal daripada apa yang saya jangkakan,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit berada dalam jajaran kecil berbanding dolar AS.

Unit tempatan meningkat pada pertengahan minggu memandangkan ia didorong oleh keputusan pilihan raya pertengahan penggal AS sebelum Rizab Persekutuan AS mengesahkan pendirian dasar monetari memihak kepada kadar faedah tinggi yang mengukuhkan semula dolar AS.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti umum perayaan Deepavali.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan turun kepada 4.1780/1810 berbanding dolar AS daripada 4.1600/1650 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, berbanding kumpulan mata wang utama, unit tempatan didagangkan kebanyakannya lebih tinggi.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0315/0341 daripada 3.0321/0362 dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.6685/6714 daripada 3.6889/6940.

Mata wang tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.4343/4386 daripada 5.4196/4266 namun mengukuh berbanding euro kepada 4.7362/7413 daripada 4.7582/7643. – MalaysiaGazette