Hasnul Zulkarnain Abd Munaim

IPOH – Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu melahirkan rasa kesal atas tindakan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang meletakkan jawatan Presiden Persatuan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) serta-merta semalam.

Beliau berkata, ini kerana Hasnul telah menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin sehingga pasukan Perak berjaya meraih Piala Malaysia selepas 18 tahun menanti.

“Saya ingin menyatakan penghargaan tertinggi bagi pihak kerajaan negeri kepada Hasnul atas segala bakti beliau sehingga pasukan Perak berjaya memenangi Piala Malaysia.

“Keputusan beliau meletakkan jawatan adalah mungkin kerana menghormati pandangan orang ramai dan kesal dengam kesilapan kecil yang beliau telah lakukan,” katanya memetik laporan Bernama selepas menghadiri ‘Minggu Fesyen Antarabangsa Ipoh’ di ibu negeri Perak malam tadi.

Ditanya mengenai beberapa kelab penyokong bola sepak Perak yang mencadangkan menteri besar itu menggantikan Hasnul, Ahmad Faizal berkata masih terlalu awal untuk memberi pandangan mengenai perkara berkenaan.

“Saya fikir masih terlalu awal untuk memberi pandangan siapa yang patut mengambil alih kerusi Presiden PAFA kerana saya yakin barisan jawatankuasa persatuan itu mampu menggalas tanggungjawab seterusnya buat masa ini.

“Saya Percaya PAFA sebagai sebuah persatuan bola sepak tentunya mempunyai peruntukan-peruntukan perlembagaan bagaimana hendak meneruskan operasi dalam berpersatuan,” katanya.

Semalam, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif kali kedua PAFA di Ipoh, Hasnul mengumumkan perletakan jawatan sebagai Presiden PAFA berkuatkuasa serta merta selepas memegang tampuk pentadbiran badan induk itu sejak 21 Julai lalu.

Hasnul berkata, perletakan jawatan itu dibuat atas kerelaan dirinya, selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya politik dan tugas selaku Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Hasnul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri telah dikritik hebat para penyokong bola sepak tempatan untuk meletakkan jawatannya kerana telah memuat naik gambarnya bersama Piala Malaysia yang diletakkan di celah kangkang. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan