Petisyen membantah ICERD akan diteruskan sehingga kerajaan akur kehendak rakyat.
Petisyen membantah ICERD akan diteruskan sehingga kerajaan akur kehendak rakyat.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 80,000 tandatangan dikumpul setakat ini bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Kumpulan peguam diketuai Lukman Sheriff Alias yang menggerakkan petisyen itu menyifatkan angka ini cukup besar dalam sejarah protest negara di bawah change.org, namun beliau yakin angkanya boleh melangkaui ratusan ribu.

“Ia agak slow (perlahan) dua tiga hari lepas tetapi aktif kembali semalam.

“Ramai yang belum tahu dan ‘stand and be counted’. Maka saya akan promosi kembali dan meminta kerjasama kawan2 sekalian,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa Hak Asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969. Malaysia tidak pernah menandatanganinya apalagi meratifikasinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy baru-baru ini mengumumkan komitmen kerajaan untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Menurut Lukman, apabila bilangan tandatangan yang secukupnya diperoleh, beliau akan membawa petisyen itu kepada Majlis Raja-Raja, jika mendapat perkenan daripada pihak berkuasa berkenaan.

“Alhamdulillah, sokongan ini melangkaui pegangan partisan. Setakat ini PPBM, UMNO dan Pas sudah mengeluarkan naratif senada dengan kita,” jelasnya sambil menambah masih terdapat tolakan daripada PAN dan PKR.

Kata Lukman, beliau akan mendekati parti-parti politik Sabah dan Sarawak dan meminta bantuan mereka yang berkeupayaan untuk melakukan perkara yang sama dengan mengubungi beliau.

Mengulas lanjut, Lukman berkata, sejak kebelakangan ini pro ICERD mula bergerak dengan naratif mereka.

“Lihat balasan bar council dan porguam. Saya rasa setakat ini semua sudah terjawab, tetapi naratif kita masih tidak muncul di media English (bahasa Inggeris).

“Ini akan mempengaruhi lebih ramai dan naratif kita akan dengan sengaja disalaherti dan disalahnyatakan,” tambah beliau.

Menurutnya, apa yang perlu dilakukan ialah meningkatkan usaha dengan lebih ke hadapan dan memerlukan bantuan untuk mencapai hasratnya itu.

Tambah Lukman, beliau akan tampil lagi dalam beberapa media yang tidak mengira parti politik namun masih memerlukan bantuan rakan peguam.

Katanya, beliau perlukan lebih validasi dan naratif undan-undang memandangkan gerakan badan-badan peguam pro ICERD sudah mula bergerak dalam media yang tidak memihak kepada pihaknya.

“Saya juga memerlukan yang berpengalaman dalam ‘international relations’. Kita perlu berjumpa,” katanya.

Beliau juga akan melakukan penerangan secara meluas
dalam pelbagai bentuk termasuk mengadakan kerjasama dengan badan politik dan NGO yang mana tidak tercapai oleh media sosial pihaknya. – MalaysiaGazette