Bernas akan mempamerkan lebih 50 jenis beras di MAHA 2018.
Bernas akan mempamerkan lebih 50 jenis beras di MAHA 2018.

KUALA LUMPUR- Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bakal memperkenalkan lebih 50 variasi beras tempatan dan beras dari negara serantau dalam pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro (MAHA) 2018 pada 22 November sehingga 2 Disember ini di Maeps, Serdang.

Antara jenis beras yang akan dipamerkan termasuklah 20 jenis beras tempatan dari Sabah dan Sarawak serta 30 jenis beras – beras dari negara Indonesia, Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Korea Selatan, Jepun, India, Pakistan dan juga Bangladesh.

Ruang pameran itu juga akan dijadikan platform perkongsian maklumat menarik mengenai tugas dan tanggungjawab BERNAS dalam membangunkan industri padi dan beras negara seperti Skim Pengilang Bumiputera, Pengurusan Pengagihan Subsidi Harga Padi, Pemutuan Padi dan maklumat beras plastik.

Pelbagai aktiviti menarik seperti Wheel of Possibility, Pertandingan Badang dan juga pertandingan menganggar berat beras akan turut diadakan di ruang pameran yang sama.

Lebih menarik, hadiah bekalan beras selama setahun juga bakal dibawa pulang oleh pengunjung yang bertuah.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Laman Padi juga akan dimeriahkan dengan penyediaan juadah bubur lambuk yang amat sinonim dengan BERNAS ketika pameran MAHA dijalankan. Menariknya tahun ini, bubur lambuk yang disediakan akan menggunakan pelbagai jenis beras seperti beras merah, beras putih tempatan, beras perang, beras wangi dan lain-lain lagi.

Tidak hanya tertumpu kepada juadah bubur lambuk, BERNAS juga akan menyediakan beberapa jenis makanan lain yang berasaskan beras seperti Putu Mayam, Inang-inang, Pongal dan juga bubur Congee kepada pengunjung di Laman Padi. – MalaysiaGazette