Khieu Samphan (kanan) dan Nuon Chea (kiri)

PHNOM PENH – Tribul Khmer Rouge yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menetapkan sama ada untuk mensabitkan kesalahan pembunuhan beramai-ramai oleh dua pengikut Pol Pot.

Khmer Rouge adalah radikal Maois yang membentuk rejim yang memerintah Kemboja dari 1975 hingga 1979, yang diketuai oleh Saloth Sar yang lebih dikenali sebagai Pol Pot.

Nuon Chea, 92, merupakan timbalan kepada Pol Pot dan Khieu Samphan, 87, pula ketua negeri regim itu.

Mereka menghadapi perbicaraan pembunuhan beramai-ramai ke atas minoriti Muslim Cham, Kemboja dan etnik Vietnam.

Seramai 2 juta penduduk dibunuh di bawah regim kejam Khmer Rouge selama empat tahun itu.

Selama empat tahun, Khmer Rouge membunuh semua orang yang dianggap sebagai musuh – intelektual, minoriti, bekas pegawai kerajaan dan keluarga mereka.

Ini termasuk orang dari etnik minoriti, tetapi sebahagian besarnya terdiri daripada etnik Khmer.

Kebanyakan mati kerana kelaparan dan dipaksa bekerja atau dibunuh jika dianggap sebagai musuh kerajaan.

Pasangan itu sudah menjalani hukuman mati selepas didapati bersalah atas beberapa jenayah terhadap kemanusiaan pada tahun 2014.

Tetapi keputusan yang bakal diputuskan pada hari Jumaat akan menjadi pengakuan rasmi bahawa rejim Khmer Rouge telah melakukan pembunuhan beramai-ramai seperti yang ditakrifkan di bawah undang-undang antarabangsa.

Kedua-dua orang kanan Pol Pot itu juga akan diadili dengan lebih banyak jenayah terhadap kemanusiaan – termasuk pembunuhan, penghambaan dan penyeksaan – dan pelanggaran terhadap Konvensyen Geneva. – MalaysiaGazette