Diploma Kepolisan dan Penyiasatan, Nur Dinie Afiqah Baderin, 21, menunjukkan segulung sijil pada Konvokesyen Kolej UNIKOP di Maktab PDRM Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Biarpun tidak meminati bidang kepolisan dan penyiasatan, namun cabaran itu tidak menghalang Nur Dinie Afiqah Baderin, 21 untuk dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ketua Polis Negara pada Majlis Konvokesyen Kolej UNIKOP hari ini.

Mengakui mempunyai minat lain, Nur Dinie berkata, dorongan keluarga terutamanya ibunya dijadikan pendorong kepada beliau dalam meniti kehidupan pelajar sebagai penuntut Diploma Kepolisan dan Penyiasatan Kolej UNIKOP.

“Saya tidak minat pengkhususan ini kerana saya sudah dapat peluang ke Politeknik.

“Ibu saya desak juga saya untuk masuk bidang ini. Jadi saya belajar jugak dan doa ibu saya termakbul. Saya dapat anugerah ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

MGF04122018_KONVOKESYEN UNIKOP06

Sebahagian peserta konvokesyen bergambar pada Konvokesyen Kolej UNIKOP di Maktab PDRM Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 DISEMBER 2018Katanya, semasa tahun pertama mengambil Diploma Kepolisan dan Penyiasatan, beliau tidak mengetahui apa sebenarnya yang ditawarkan oleh bidang tersebut namun dia membulatkan tekad untuk meneruskan pembelajaran.

Harapan tinggi dan semangat yang ditunjukkan ibu dan keluarganya telah membakar semangat beliau untuk berjaya.

“Saya rasa kena tolong ibu bapa saya dan dapatian juga apa yang mereka mahukan daripada saya. Ini untuk mereka.

“Dorongan ibu saya buatkan saya mahu kerja keras dan saya pernah rasa putus asa.

“Ibu selalu beri aura positif kepada saya supaya teruskan pembelajaran saya di UNIKOP,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.73 itu.

Diploma itu disampaikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Fuzi Haron.

Majlis konvokesyen itu adalah pengambilan ketiga yang berjaya menamatkan program berkenaan sejak tahun 2016, membabitkan 151 graduan.

Menurut laman sesawang Kolej UNIKOP, graduan dalam bidang ini berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan dalam industri penguatkuasaan dan penyiasatan.

Antaranya dalam perkhidmatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM), sektor awam seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia,  Jabatan Kastam Di Raja Malaysia, Jabatan Agama, Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran dan lain-lain lagi. -MalaysiaGazette