Kereta yang dipasang bom meletup di sebuah pasar di Afrin mengakibatkan kematian sembilan orang mangsa. foto Agensi

AMMAN – Sekurang-kurangnya sembilan terbunuh apabila sebuah kereta yang dipasang dengan bom meletup di pasar dekat bandar Afrin.

Ia merupakan serangan terbaharu di bandar yang di bawah kawalan kumpulan pemberontak yang disokong oleh Turki.

Sumber-sumber berkata, letupan itu dari sebuah kereta yang diletupkan berhampiran pasar selepas beberapa hari ledakan serupa melanda kawasan awam yang penuh sesak di bandar-bandar Azaz, Rae dan al Bab berhampiran sempadan Turki di bawah kendalian pasukan keselamatan.

Rabu lalu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, tenteranya akan melancarkan serangan ke atas pasukan militan Syria Kurdish YPG, yang dilihat sebagai lanjutan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) – sebuah kumpulan yang diklasifikasikan oleh Barat sebagai kumpulan pengganas dan telah melancarkan pemberontakan selama tiga dekad di Turki.

Penduduk dan pemberontak yang merupakan penduduk Arab menduduki kawasan di bahagian barat laut mengesyaki YPG sebagai dalang di sebalik serangan berkenaan.

Ia bertujuan untuk mewujudkan ketakutan dan menjejaskan zon mereka sebelum memulakan serangan terhadap Turki di lokasi yang mereka kuasai di timur Euphrates di utara Syria.

“Keadaan keselamatan sukar dijangkakan. Kami berjalan dalam keadaan ketakutan dan cuba mengelakkan melalui tempat parkir kereta kerana bimbang ia meletup,” kata Ibrahim Darwish, seorang penduduk Afrin.

Tentera Turki yang dibantu oleh sekutu pemberontak Syria menawan Afrin, sebuah bandaraya Kurdish dari YPG pada bulan Mac 2018 dalam serangan besar ke barat laut Syria. – MalaysiaGazette