KUALA LUMPUR – Harga minyak susut sekitar 1.0 peratus berikutan tanda-tanda kelembapan ekonomi global yang memberi isyarat kebimbangan terhadap permintaan bahan bakar masa depan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent pada AS$62.09 setong pada 0601 GMT, turun AS$0.65 sen, atau 1 peratus, daripada penutupan sebelumnya.

Manakala niaga hadapan minyak US West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$ 53.22 setong, turun 1.1%, atau AS$0.58 sen.

Hari ini China memberi amaran bahawa tekanan ke atas ekonomi akan menjejaskan pasaran pekerjaan China memandangkan pesanan kilang jatuh, menunjukkan penurunan lagi aktiviti dalam beberapa bulan akan datang dan lebih banyak pekerjaan terjejas.

Pada Isnin lalu, China melaporkan pertumbuhan ekonomi paling rendah sejak 1990.

“Aktiviti pembuatan yang perlahan di China kemungkinan disebabkan permintaan,” kata broker dari Eastport sambil menambah bahawa kelembapan industri cenderung menjadi indikator utama yang memberi isyarat ke atas permintaan yang lebih rendah untuk produk minyak perkapalan.

Korea Selatan pula merekodkan kadar pertumbuhan perlahan dalam tempoh enam tahun kepada 2.7 peratus pada 2018, menurut data yang dikeluarkaan hari ini.

Tabung Kewangan Antarabangsa pula menurunkan unjuran pertumbuhan global 2019 kepada 3.5 peratus daripada 3.7 peratus pada tinjauan Oktober lalu. – MalaysiaGazette