VARANASI, UTTAR PRADESH – Bukan seperti kebiasaan, kali ini tidak ada seorang pun menteri atau timbalan menteri dalam kalangan masyarakat India dari Malaysia yang hadir untuk Persidangan Pravasi Bharatiya Divas (PBD) ke-15 di Varanasi, India.

Sebelum ini, Malaysia bukan sahaja merupakan antara delegasi tertinggi malah pastinya akan ada kehadiran menteri atau timbalan yang mewakili suara rakyat Malaysia India bagi persidangan antarabangsa terbesar ini.

MalaysiaGazette yang berkesempatan untuk menghadiri persidangan BPD di Varanasi ini diberitahu sepatutnya Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier  mewakili Malaysia namun tidak dapat hadir pada saat-saat akhir.

Ketika ini, dianggarkan lebih 400 delegasi dari Malaysia yang menghadiri PBD ini dengan penyertaan teramai daripada MIC iaitu 240 wakil dan diketuai oleh Presiden MIC merangkap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran.

Sebelum ini, MIC menyertai PBD dengan penyertaan teramai diketuai antaranya, Duta Khas ke India dan Asia Selatan Bagi Insfrastruktur Tun Dr S. Samy Vellu selain pernah diwakili oleh dua bekas Presiden merangkap Menteri, Datuk Seri G Palanivel dan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

‘Diaspora India’ adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan masyarakat yang berasal dari India.

Setakat ini dianggarkan terdapat sejumlah 40 juta orang masyarakat keturunan India di luar India atau berasal dari India.

Antara isu yang sebenarnya mahu dibangkitkan ialah berhubung kenaikan caj visa India untuk rakyat Malaysia sebelum ini berharga RM180 kini telah dinaikkan sehingga hampir RM470 untuk tempoh setahun.

Seperti yang kita semua maklum, berpuluh-puluh ribu rakyat Malaysia dalam kalangan kaum India kerapkali mengunjungi negara ini bagi pelbagai tujuan termasuk berkaitan keagamaan, perniagaan, perubatan dan banyak lagi.

Selain itu, cadangan agar rakyat Malaysia yang layak diberikan dua kewarganegaraan bagi mendapatkan faedah serta manfaat selain daripada diberikan sahaja visa percuma bagi memastikan generasi akan datang supaya tidak putus hubungan kelak satu hari nanti berikutan caj tinggi.

Pravasi Modi

PBD yang diadakan sejak 9 Jan 2003 bertujuan mengiktiraf sumbangan komuniti India di luar negara bagi pembangunan India, dan kali ini berlainan sedikit tarikhnya kerana telah dianjakkan kepada 21 sehingga 23 Januari.

Ini berikutan keputusan kerajaan India yang mahu kesemua diaspora India untuk hadir ke perayaan ‘Kumbha Mela’ di Pyaragraj pada 24 Januari yang di sambut secara besar-besaran di tanah suci Varanasi ini.

Varanasi yang dahulunya dikenali sebagai Benaras sebenarnya merupakan bandar suci dengan nama Kashi bagi masyarakat Hindu seluruh dunia, satu lokasi untuk penganut membersihkan ‘dosa’ selain mendapatkan restu Dewa Shiva.

Menariknya, Varanasi juga merupakan Parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri, Narendra Modi.

Kumbaha Mela

Selain daripada itu, kumpulan diaspora ini akan di bawa ke New Dehli pada 26 Januari bagi menyaksikan perarakan ‘Hari Rebuplik’ juga antara acara bersejarah negara ini.

Konvensyen ini menyediakan platform kepada masyarakat India di luar negara melibatkan diri dengan kerajaan dan rakyat dari negara nenek moyang mereka untuk aktiviti yang memberi manfaat bersama.

Ia juga berguna bagi tujuan perhubungan antara masyarakat India di luar negara yang menetap di serata dunia dan bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman dalam pelbagai bidang.

Semasa acara itu, individu yang memiliki merit luar biasa akan menerima anugerah berprestij ‘Pravasi Bharatiya Samman Award’ untuk menghargai peranan mereka dalam pembangunan India.

Anugerah awam berprestij India ini juga pernah diberikan kepada beberapa tokoh terkenal Malaysia iaitu Tun Samy Vellu sendiri bagi mengiktiraf kepimpinan beliau mewakili masyarakat India di negara kita selain sumbangan beliau besar dalam membentuk hubungan dua hala India-Malaysia.

Selain itu, pengasas Sri Murugan Centre (SMC), Tan Sri Dr. M. Thambirajah pernah menerima anugerah paling berprestij India sekaligus mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam bidang pendidikan khasnya kepada masyarakat India di Malaysia selama lebih 30 tahun.

Juga pernah menerima anugerah itu ialah bekas diplomat terkemuka Malaysia, Tan Sri Ajit Singh.

Modi hari ini telah merasmikan PDB yang bertemakan ‘Peranan Diaspora India dalam membentuk India Baharu’ telah menyaksikan kehadiran lebih 4,000 India seluruh 85 buah negara. –MalaysiaGazette