Syed Saddiq Abdul Rahman menunjukkan sebahagian beras yang bakal diagihkan kepada penduduk di kawasan Parlimen Muar.

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah membelanjakan keseluruhan peruntukan RM300,000 yang diberikan kerajaan melalui Program Bakul Makanan untuk diagih-agihkan kepada 5,000 keluarga di kawasan Parlimen Muar.

Menurutnya walaupun kerajaan mensasarkan bantuan kepada 3,000 keluarga (RM100 bagi setiap keluarga) tetapi beliau mahu bantu lebih lagi.

”Kalau setakat nak buat ala kadar, memang saya rasa bazir sangat. Kalau ramai boleh dapat bantuan ini, lagi baik,” katanya dalam hantarannya di Facebook hari ini.

Syed Saddiq berkata, beliau telah mencari jalan untuk mendapatkan sebanyak mungkin makanan dengan kos paling rendah dengan bantuan KK Mart dan TheLorry.

Katanya, KK Mart beri super discount dari RM100 ke RM55 manakala TheLorry menyediakan enam buah treler 20 tan dengan percuma.
“Hasilnya saya dapat bantu 5,000 keluarga!! Selebihnya saya guna untuk kos operasi,” katanya.

Syed Saddiq menambah, lebih 15,000 keluarga mendapat bantuan makanan dalam siri bantuan tersebut.

Dalam hantaran itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pasar raya dan syarikat pengangkutan yang membantu dalam program agihan tersebut.
Barang-barang makanan dikeluarkan daripada lori.

”Syukur sangat-sangat. Doakan saya dan team cepat beri bantuan,” ujar beliau.

Program Bantuan Bakul Makanan ini diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) awal bulan ini.

Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi melaksanakan program ini kepada  golongan terjejas di kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette