OKU fizikal, Nor Azlan dan anaknya terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke tingkat enam rumahnya di Pangsapuri Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka di sini yang terputus bekalan elektrik sejak hampir 10 hari lalu.

MELAKA – Kira-kira 2,000 penduduk Pangsapuri Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini, ibarat bergadai nyawa menggunakan tangga dan lif penjana kuasa diesel sejak hampir 10 hari lalu.

Keadaan itu berpunca apabila kegagalan pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebelum ini melunaskan tunggakan bil elektrik mengakibatkan kawasan kediaman itu gelap gelita pada waktu malam.

Penduduk orang kurang upaya (OKU) R Parthiban, 44, masalah itu walaupun baru berlaku sejak 15 November lalu, ia amat membebankan penduduk terutamanya lagi golongan cacat anggota sepertinya.

R Parthiban

“Saya tinggal di tingkat enam dan setiap kali hendak turun naik tangga, terpaksa mengesot antara 30 hingga 40 minit untuk sampai ke bawah.

“Setiap hari saya fikir kalau terjatuh mungkin boleh menyebabkan maut,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Penduduk yang juga pesakit dialilis, Hamidah Jamaludin, 60, berkata, ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan JMB yang baharu dilantik terpaksa menggunakan penjana kuasa diesel untuk menggerakkan lif pada waktu tertentu sahaja.

Ia secara tidak langsung turut mendedahkan penduduk kepada risiko berlaku letupan akibat penggunaan bahan bakar diesel jika berlaku kerosakan set generator terbabit.

Sebahagian daripada 2,000 penduduk di Pangsapuri Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka di sini yang terputus bekalan elektrik sejak hampir 10 hari lalu terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke pangsapuri tujuh tingkat itu

“Saya sampai jatuh sakit kerana terpaksa guna tangga untuk turun dan naik ke rumah di tingkat tujuh, mujurlah rumah ada bekalan elektrik.

“Sekarang ini, bekalan air larutan dialisis pula sudah habis dan pihak hospital nak hantar pun buntu kerana lif hanya dihidupkan pada waktu puncak pagi dan petang sehingga 9 malam sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk OKU fizikal, Nor Azlan Ali, 37, merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat menamatkan derita penduduk sebelum berlaku kemalangan jiwa.

“Bayangkan dalam keadaan terpaksa bertongkat, saya bawa sekali anak bongsu berusia dua tahun kerana isteri pun sedang sarat lapan bulan anak ketiga,” katanya.

Mazlan Mahamud

OKU warga emas, Chong Far Onn, 62, berkata, ketiadaan lampu di ruang tangga menyebabkan dia pernah terjatuh pada jam 4.30 pagi ketika hendak menjual akhbar.

“Pada hari kedua pula bekalan minyak petrol dalam raga motosikal saya dicuri kerana kawasan parkir yang gelap meningkatkan risiko berlaku jenayah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi persatuan penduduk, Mazlan Mahamud berkata, permasalahan itu sudah diajukan kepada wakil rakyat dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah ini. – MalaysiaGazette.