minyak sawit
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) diiringi Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir (dua kanan) bergambar bersama kaki tangaan (MPOB) pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2022 di Dewan Sawit MPOB, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 31 JANUARI 2023.

BANGI – Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan merangka strategi untuk memberi tekanan kepada Kesatuan Eropah (EU) supaya Malaysia dan Indonesia tidak dibuli sewenang-wenangnya dalam isu diskriminasi minyak sawit di rantau berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau amat bersetuju bahawa negara-negara pengeluar minyak sawit perlu bersepakat dalam menangani isu-isu global supaya bantahan terhadap diskriminasi terhada mkomiditi itu dapat dibuat secara bersepadu, efektif dan mantap.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mengakui bahawa perkara itu tidak mudah untuk dilakukan.

“Sehubungan itu, kementerian dan agensi di bawahnya akan meningkatkan usaha menangkis kempen antiminyak sawit dengan melaporkan fakta yang tepat mengenai kemampanan dan kebaikan minyak sawit.

“Kita perlu menunjukkan fakta bahawa minyak sawit tidak merosakkan alam sekitar sehingga memberi kesan yang negatif kepada manusia dan hidupan liar,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2022 di Bangi, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching; Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) diiringi Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir (dua kiri) melakukan gimik penanaman pokok sawit hibrid ketika hadir pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2022 di Dewan Sawit MPOB, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 31 JANUARI 2023

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah memberitahu, eksport minyak sawit dijangka meningkat 3.7 peratus kepada 16.30 juta tan pada 2023 daripada 15.72 juta tan pada tahun lepas.

Beliau menambah, ia berikutan permintaan minyak sawit yang berterusan daripada negara-negara pengimport seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Jepun, Bangladesh dan Mesir.

“Peningkatan kawasan tanaman sawit matang terutama di Semenanjung dan Sarawak serta keadaan cuaca yang baik merupakan faktor yang mendorong kepada peningkatan pengeluaran MSM pada tahun 2023.

“Bagi terus mendorong perkembangan positif ini, pihak kementerian juga akan memastikan proses kemasukan pekerja asing berjalan lancar dalam usaha menangani masalah kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan,” jelasnya.

Fadillah juga berharap agar MPOB sentiasa memastikan produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan.

“Kita perlu tingkatkan kemampanan, produktiviti dan kualiti sebab antara cabaran yang kita hadapi selain penolakan Eropah ialah isu keselamatan makanan,” katanya.

Beliau berkata, MPOB perlu memberi tunjuk ajar dan kesedaran kepada pekebun kecil tentang kepentingan menanam benih sawit yang berkualiti kerana kesannya berterusan sehingga 25 tahun akan datang.

“Pengurusan penyakit dan perosak secara bersepadu juga amat penting bagi mengelakkan kemerosotan hasil terutamanya disebabkan oleh penyakit-penyakit sawit.

“Inovasi perlu supaya para penyelidik MPOB dapat menghasilkan pokok sawit yang tahan serangan penyakit,” katanya. – MalaysiaGazette