Aksi pelumba pasukan Prima Primac Racing, Jorge Martin selepas tamat perlumbaan sesi kelayakan MotoGP 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 OKTOBER 2022.

SEPANG – Pelumba pasukan Prima Pramac Racing Jorge Martin tidak menjangkakan untuk memecahkan rekod sepusingan terpantas pada sesi kelayakan Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.

Pelumba Sepanyol berusia 24 tahun itu mencatatkan satu minit 57.790 saat (s) sekali gus mengatasi rekod 1:58.303s yang dilakukan pelumba Perancis Fabio Quartararo pada 2019

Martin berkata, pencapaian itu bukanlah sesuatu yang mudah dan beliau turut terganggu dengan cuaca panas memandangkan sesi itu dijalankan pada waktu tengah hari.

“Sukar untuk mencapai 1:57s dan hari ini sangat panas, jadi, saya tidak sangka akan mencatatkan masa pusingan ini, malah selepas Sesi Latihan Bebas 4 saya terbabas yang menyebabkan saya agak kurang berkeyakinan.

“Kali pertama saya mencatatkan 1:58s dan melakukan dua kesilapan, saya fikir pelumba lain akan catatkan masa lebih baik dari 1:58s sebab itu saya lebih kuat mencuba dan akhirnya memecahkan rekod. Ia sesuatu yang hebat dan saya tidak sabar untuk melihat pencapaian saya selepas ini kerana masa itu betul-betul pada limitnya,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Martin sekali gus meraih petak pertama dalam perlumbaan esok susulan pencapaian itu, manakala di petak kedua ialah pelumba Itali Enea Bastianini dari Gresini Racing MotoGP dengan 1:58.246s dan pelumba Sepanyol, yang juga juara dunia enam kali, Marc Marquez (Repsol Honda) di petak ketiga selepas mencatatkan 1:58.454s.

Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo Team kini mendahului carta kejohanan dengan 14 mata, berbaki dua perlumbaan musim ini dan berpeluang untuk bergelar juara dunia jika beliau menang di Sepang dan meraih sekurang-kurangnya kedudukan keempat di Quartararo. – BERNAMA