KLANG – Polis tidak akan membenarkan bandar Klang ditafsirkan sebagai Colombia yang mencatatkan aktiviti jenayah yang tinggi.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain berkata, daerah Gombak merekodkan Kadar indeks Jenayah yang lebih tinggi berbanding Klang Selatan diikuti disusuli Kajang, Petaling, dan Klang Utara.
Tambah beliau, pihaknya akan memadam persepsi negatif itu dan beberapa siri operasi telah dilaksanakan terhadap kes sindiket dadah, penyeludupan migran asing, kontraban dan aktiviti jenayah antara 15 Januari hingga 1 Februari lalu.
“Kita sedia maklum dan menyedari bahawa beberapa portal berita melaporkan isu berkenaan Colombia ini khususnya selepas rakaman video kes rompakan ke atas ejen hartanah telah tular dan menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.
“Ia sebenarnya kes terpencil tetapi portal berita menggunakan tajuk Klang seperti Bandar Columbia dalam melaporkan berita tersebut,” katanya selepas Program Walkabout Pencegahan Jenayah Bersama Masyarakat di Pasar Pagi Pandamaran, di sini, hari ini.
Katanya, hasil tinjauan mendapati bandar Klang bersih dan aman serta tiada apa yang perlu dirisaukan seperti yang dilaporkan oleh portal berita tersebut.
Sementara itu, Razarudin memberitahu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah membincangkan dengan beliau mengenai aktiviti jenayah dan operasi berterusan yang mahu laksanakan di lokasi lain selepas ini.
Namun katanya, Shuhaily tidak pernah menyebut kedaaan Klang seperti Colombia seperti dipetik portal berita dan beliau mahu persepsi negatif itu dikikiskan sedangkan ia merupakan Bandar Diraja. – MalaysiaGazette