Ubat Ternolol 50 yang ditarik balik penggunaannya oleh KKM pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Hovid Berhad memaklumkan telah menarik balik produk tablet Ternolol 50mg di bawah nombor kelompok BG04645 mengandungi tarikh pembuatan April 2016 bagi pasaran Malaysia.

Penarikan balik itu dibuat bagi kandungan kotak yang dilabel Ternonol 50.

Dalam notis kepada Bursa Malaysia, Hovid berkata, ubat tablet yang mengandungi bahan-bahan aktif atenolol yang ditetapkan untuk rawatan tekanan darah tinggi.

Kumpulan ubat yang ditarik balik itu melibatkan kos dan pendapatan kurang daripada RM25,000.

“Kami tidak melihat kesilapan itu sebagai ringan dan kini menyiasat perkara itu. Kami akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang diperlukan untuk memastikan tiada kejadian berulang dan bekerjasama rapat dengan Jabatan Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

NPRA telah meminta produk yang didaftarkan oleh Pihak Bekuasa Kawalan Dadah (PBKD) dengan nombor pendaftaran MAL19940057AZ ditarik serta-merta.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, NPRA dan pihak pengilang sedang menjalankan siasatan menyeluruh ke atas perkara ini bagi mengenalpasti punca masalah. – MalaysiaGazette