Sekumpulan ahli dan penyokong PAS berhimpun bagi menyatakan sokongan terhadap pendirian Presiden Pas menamatkan kerjasama dengam DAP di hadapan Masjid Jamek, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyokong Pas hari ini mengadakan himpunan kecil bagi menyatakan pendirian menyokong Presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menamatkan hubungan dengan parti yang ada kaitan dengan DAP.

Kira-kira 20 orang ahli Pas berhimpun di hadapan Masjid Jamek disini dengan membawa sepanduk menyokong Hadi dan mengecam DAP serta Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap sebagai perosak dan kecelaruan dalam kalangan orang Melayu Islam di Malaysia.

“Pas boleh berdiri dengan sendiri tanpa memerlukan bantuan parti lain terutamanya mereka yang ada kaitan dengan DAP.

“Kami menyokong penuh pimpinan Presiden Pas yang memutuskan hubungan dan kerjasama dengan parti politik yang mempunyai hubung kait dengan DAP,” kata jurucakap kumpulan itu, Azman Syed Ali, 48, yang ditemui semasa himpunan hari ini.

Beberapa pemuda dalam kumpulan itu membawa sepanduk mendakwa Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai watak utama dalang insiden 13 Mei 1968 dengan slogan “Melayu Mudah Lupa”, gambar potret Dr Mahathir bersama Kit Siang dengan mendesak Pas supaya tidak menjadi barua kepada DAP dan juga slogan menuduh Dr Mahathir selama 22 tahun banyak menipu Pas ketika mentadbir negara suatu ketika dahulu.

Wakil PAS Ampang, Azman Syed Ali bercakap kepada wartawan di hadapan Masjid Jamek, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2017
Wakil PAS Ampang, Azman Syed Ali bercakap kepada wartawan di hadapan Masjid Jamek, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 FEBRUARI 2017

Azman juga berkata, Pas tidak perlu bersama dengan parti yang tamak kuasa dan mempunyai masalah keperibadian khususnya DAP dan PPBM yang dilihat masih cuba memujuk untuk bersama dalam blok pembangkang mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) depan nanti.

“PRU14 hampir tiba, sebagai petugas parti, kami merasakan sampai masanya Pas berdiri tanpa diganggu oleh parti-parti lain yang sarat dengan masalah keperibadian serta ketamakkan kuasa yang agak melampau.

“Untuk itu kami sarankan agar DAP, PPBM serta PAN usah mengharap kami sebab kalian riuh di merata tempat akan kehebatan kamu jadi kenapa masih mengintai kami?” katanya lagi.

Azman merujuk skandal dihadapi Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan seorang wanita dan juga Dr Mahathir yang terpalit dalam skandal kerugian urus niaga forex sekitar tahun 1990-an dahulu.

Selain itu, hubungan dengan PKR juga perlu diperhalusi semula, kata Azman yang mendakwa parti itu tidak jujur dalam persahabatan kerana sering dalam ceramah politiknya memerli dan menghentam Pas.

“Ini semua beban pada kami sebagai petugas Pas bila berhadapan dengan rakyat ketika PRU nanti.

“Kami mahu ketegasan Tuan Guru dan pimpinan Pas dalam memutuskan hubungsn politik ini, bermaruah serta dihormati,” katanya.

Minggu lalu, Hadi menyatakan pendirian Pas tidak akan bekerjasana dengan PPBm adalah muktamad.

Pas juga bakal membincangkan hubungan dengan PKR dalam muktamar parti itu yang bakal diadakan pada 28 April depan di Kedah.

Himpunan kecil tersebut berlangsung kira-kira 20 minit sejurus selesai solat Jumaat dan berakhir dengan aman. – MalaysiaGazette