Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azmin Ali menutup mulut daripada mengulas pendedahan penyelewengan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) yang dibuat oleh Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Menteri Besar Selangor memberi alasan kononnya laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah dibuat berhubung isu penyelewengan tersebut dan tidak akan memberi sebarang komen sehingga siasatan selesai.

“Perkara ini beliau (Jamal) telah laporkan kepada SPRM, perkara ini kita beri ruang kepada SPRM untuk menyiasat dan saya tidak boleh memberi sebarang komen kerana ia masih dalam siasatan,” kata Azmin yang ditemui di Parlimen hari ini.

Azmin berkata, pentadbirannya sedia memberikan kerjasama dengan SPRM untuk memastikan siasatan itu berjalan dengan lancar.

“Kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan siasatan itu berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau juga enggan memberikan komen lanjut mengenai pelantikan pengurus besar YAWAS yang berstatus muflis.

Jamal, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu sebelum ini mendesak Azmin menjawab dakwaan transaksi YAWAS berjumlah RM200 juta telah disalurkan kepada ahli parlimen di Kuala Lumpur sedangkan dana itu wang rakyat Selangor.

Selain itu, pendedahan juga dibuat Jamal dimana pengurus besar agensi kerajaan negeri itu sebenarnya seorang yang muflis sejak dilantik September lalu. – MalaysiaGazette