Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri, Datuk Sabin Samitah (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Malaysia Gazette pada Majlis LHDN Bersama Media di Seri Pacific Hotel , Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI, 29 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Pengamal media perlu menjadi rakan kongsi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat khususnya pembayar cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif (LHDN), Datuk Sabin Samitah berkata, media boleh menyiarkan aduan, membuat teguran dan mengkritik, namun ia perlu bersifat membina dan berasaskan fakta serta konteks yang tepat.

“Sebagai rakan kongsi sudah tentu ada perbezaan antara kita tentang bagaimana kita menguruskan tanggungjawab masing-masing kepada masyarakat.

“Namun, harus kita semua sedar bahawa untuk perkongsian bestari dan situasi menang-menang kerjasama dan persefahaman antara kita sangat penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-tea LHDN bersama media di sini hari ini.

Mengulas lanjut Sabin berkata, teguran dan kritikan yang membina dapat membantu LHDN mengatasi kelemahan dan kepincangan yang ada serta mampu memperbaiki sistem yang kurang cekap bagi memperkemas sistem pentadbiran percukaian.

Katanya, beliau amat berbesar hati sekiranya media mendapatkan maklum balas terhadap sesuatu isu yang diterbitkan membabitkan LHDN.

“Ini merupakan harapan kami yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk rakyat dan negara selaras dengan slogan yang dipegang oleh setiap Pegawai LHDN iaitu `Perkhidmatan Terbaik Untuk Anda’,” ujarnya. – MalaysiaGazette