Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjabat dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (kiri) dan Perdana Menteri Thai Prayut Chan-o-cha (kanan) selepas mempengerusikan Persidangan IMT-GT Ke10 sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30. - foto Bernama

MANILA – Malaysia, Indonesia dan juga Thailand akan terlibat dalam usaha untuk memerangi ancaman terkini terhadap industri kelapa sawit susulan Parlimen Eropah telah mengaitkannya dengan penebangan hutan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, isu tersebut, yang telah dibangkitkan oleh beliau mendapat sokongan yang kuat daripada Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi).

Resolusi oleh Parlimen Eropah baru-baru ini menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk menghentikan penggunaan minyak sayuran dalam biodiesel menjelang 2020 yang didakwa dihasilkan dengan cara yang tidak mampan dan membawa kepada penebangan hutan. Resolusi itu termasuk minyak sawit.

“Presiden Jokowi melahirkan sokongan yang kuat bagi cadangan Malaysia, Indonesia dan juga Thailand terlibat dalam usaha untuk memerangi ancaman terbaharu ini.

“Dan untuk itu, kita cuba mempengaruhi EU supaya tidak menguatkuasakan resolusi ini kerana kesannya, pasaran EU akan tertutup bagi minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Najib berkata, beliau turut mencadangkan usul agar ASEAN melaksanakan kaedah kad skor untuk menentukan langkah dan tempoh masa bagi penurunan Halangan Bukan Tarif (NTB) dan Langkah Bukan Tarif (NTM) dapat dicapai.

NTB dan NTM telah meningkat daripada 1,634 pada 2000 kepada 5,975 pada 2015.

“Ia adalah peningkatan yang begitu ketara,” katanya.

Ditanya mengenai langkah-langkah Malaysia, beliau berkata ia tidak boleh hanya melibatkan Malaysia tetapi setiap negara perlu menyahut saranan mengurangkan NTB dan NTM secara positif. – Bernama