Penerima anugerah Graduan Cemerlang Diploma Pengurusan Koperasi Siti Nursyazleen Shamsul Nizam pada Konvokesyen Maktab Koperasi Malaysia ke 21 di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 25 MEI 2017

PUTRAJAYA – Akibat selalu dihina dan diherdik disebabkan lahir daripada golongan miskin, Siti Nursyazleen Shamshul Nizam, 21 nekad untuk membuktikan dirinya juga mampu berjaya dalam pelajaran.

Graduan Diploma Pengurusan Koperasi Maktab Koperasi Malaysia (MKM) ini memasang niat untuk merubah persepsi negatif masyarakat bahawa golongan miskin juga berhak mendapatkan pendidikan yang terbaik.

Dengan azam serta usaha yang gigih, akhirnya anak kepada pasangan peniaga gerai makan ini diangkat sebagai graduan cemerlang 2017 bagi MKM.

“Saya nak lihat ibubapa dan keluarga saya menangis gembira dengan pencapaian saya pada hari ini.

“Kami keluarga sederhana, jadi daripada awalnya saya nak buktikan kepada keluarga saya sebab banyak kali dihina oleh masyarakat kerana mungkin disebabkan kami daripada golongan miskin.

“Ini peluang untuk saya buktikan kepada masyarakat bahawa tidak semua orang miskin tidak boleh berjaya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Siti Nursyazleen antara lebih 123 graduan yang menerima diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen MKM kali ke-21 di Dewan Sebaguna Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini.

Hadir menyampaikan diploma berkenaan, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Jamil Salleh yang mewakili menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pemegang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.73 itu berkata, anugerah yang diterima beliau membuktikan kepada masyarakat bahawa berstatus golongan miskin tidak menghalang seseorang itu untuk berjaya demi keluarga tercinta.

“Pada awalnya saya tidak sangka dapat anugerah cemerlang dari MKM sebab perkara ini dirahsiakan dari pengetahuan saya.

“Saya amat bersyukur sebab ini impian saya daripada hari pertama jejak kaki ke dalam MKM, sebenarnya anugerah ini ditujukan kepada ibubapa saya sebab anugerah ini sangat bermakna kepada saya dan keluarga,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.