Shahrir Samad
KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masih belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA) semasa Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata perkara itu sebaliknya masih dalam proses pertimbangan kerana banyak persoalan dan perkara berkaitan yang perlu diteliti serta dibincangkan.

“Kami masih belum membuat sebarang keputusan (setakat ini) dan akan meneruskan perbincangan dengan FGV mengenai pendekatan di segi meningkatkan pendapatan dan keuntungan Felda bagi manfaat FGV sendiri. Ini sejajar peranan Felda sebagai pemegang saham terbesar dalam FGV,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan prebiu Bufet D’Saji Ramadan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata perkara itu pada awalnya menjadi bahan perbincangan berikutan langkah penyusunan semula komponen Felda termasuk LLA dalam usaha meningkatkan aspek kemampanan dan pendapatannya.

Felda memegang kira-kira 34 peratus kepentingan dalam FGV. Malah, FGV turut menguruskan kira-kira 335,000 hektar daripada keseluruhan simpanan tanah Felda sebanyak 850,000 hektar.

Sementara itu, mengulas pakatan antara DRB-Hicom Bhd dengan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) yang diumumkan semalam, Shahrir berkata perubahan dan transformasi yang membabitkan pengeluar kereta seumpamanya sememangnya berlaku di peringkat global, termasuk melibatkan aspek pembelian oleh pelabur asing.

“Jika kita merujuk Britain (United Kingdom) misalnya, ada syarikat yang bukan pun dari negara asal iaitu seperti (tindakan) BMW membeli Rolls Royce dan MINI dan Proton juga tidak terkecuali berdepan keadaan sama.

“Proton memerlukan pelabur yang ada kemudahan ketara dalam industri automotif sama ada daripada segi (kapasiti pengeluaran) enjin atau memiliki keupayaan pasaran besar untuk menjana pendapatan,” katanya.

Jelas Shahrir, rundingan antara Proton dan syarikat terlibat juga dilakukan sendiri oleh DRB-Hicom dan bukannya kerajaan.

Menurutnya, Proton yang pernah menerajui industri automotif di Malaysia sebelum berada di tempat ketiga selepas Perodua dan Honda ketika ini, juga memerlukan penglibatan pelabur strategik untuk memperbetulkan keadaan termasuk melihat potensi pasaran eksport selain pasaran tempatan.

“Saya yakin Geely memiliki kelebihan serta kekuatan yang boleh membantu Proton mencapai prestasi kewangan dan pasaran yang dikehendakinya.

“Volvo misalnya masih digelar sebagai kereta buatan Sweden biarpun pemilik serta pelaburnya merupakan sebuah syarikat China. Itulah juga yang dilalui Proton,” katanya.

— BERNAMA