Sesi fotografi bersama penyanyi, Datuk Sheila Majid pada sidang media Konsert Datuk Sheila Majid di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid mengakui antara kejadian yang menakutkan apabila akan mengadakan konsert berskala besar Ogos ini jika bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.

Sheila, 52, berkata, seandainya itu terjadi, ia akan memberi kesan kepada seluruh konsert yang melibatkan pentas, pencahayaan termasuk juga para pemuzik.

“Bayangkan secara automatik mikrofon saya juga tidak boleh berfungsi dan penonton pula tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

“Namun kita boleh membuat perancangan dan apa-apa saja kemungkinan boleh berlaku pada malam itu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 di Double Tree By Hilton KL di sini baru-baru ini.

Penyanyi, Datuk Sheila Majid bercakap pada sidang media Konsert Datuk Sheila Majid di Hotel Double Tree, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2017.

Konsert tersebut bakal berlangsung di Stadium Negara pada 5 Ogos depan.

Sementara iti, tiket-tiket berharga RM888 dan RM388 pada konsert itu telah habis dijual dalam tempoh sebulan.

Sambutan luar biasa itu selepas Sheila membuat pengumuman konsert tersebut hanya dihebahkan baru bulan lalu ketika pada majlis pelancaran album terbaharunya, Boneka.

Menurut pemilik nama sebenar Shaheila Abdul Majid ini selain persediaan untuk memberikan persembahan yang paling terbaik pada malam itu nanti, beliau juga berdoa agar kesihatannya berada dalam keadaan baik sehingga menjelang hari konsert yang sebenar.

Katanya, beliau pernah berdepan pengalaman mencemaskan ketika mengadakan konsert di Brunei kira-kira 12 tahun lalu apabila kehilangan suara dan nyaris tidak dapat membuat persembahan.

“Sebagai seorang penyanyi, tiada istilah sakit. Walau dalam keadaan apa sekalipun persembahan tetap perlu diteruskan,” katanya yang rajin berceloteh. – MalaysiaGazette