KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) mengalu-alukan tindakan kerajaan menubuhkan suruhanjaya inkuiri diraja (RCI) untuk menyiasat secara bebas kerugiaan tukaran wang asing berjumlah berbilion ringgit pada 1980-an dan 1990an.

Bank pusat dalam kenyataannya di sini hari ini berharap siasatan RCI terhadap insiden tersebut akan menyelesaikan isu yang telah berlaku lebih 25 tahun lalu.

“BNM akan memberikan sepenuh kerjasama kepada suruhanjaya berkenaan di dalam menyediakan maklumat seperti yang diperuntukkan undang-undang,” katanya sebagai maklum balas daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri mengenai penubuhan RCI yang akan menyiasat kes tersebut.

Tambahnya, di mana-mana negara sekalipun integriti dan kredibiliti bank pusat adalah sesuatu yang sangat penting di dalam menjaga keyakinan rakyat dan mengekalkan sistem kewangan yang kukuh dan ekonomi yang stabil.

“Bank Negara memberi jaminan kepada rakyat dan pasaran kewangan bahawa kami tidak akan terganggu daripada tugas kepada negara di dalam menyempurnakan mandate yang telah diamanahkan.

“Kami akan terus melindungi kestabilan monetari dan kewangan negara serta memastikan sistem pembayaran berfungsi dengan baik,” katanya lagi.- MalaysiaGazette