Seorang pekerja Stesen Minyak PETRON dilihat membetulkan pam minyak di Stesen Minyak PETRON, Bangsar. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2017
KUALA LUMPUR – Stesen minyak masih merupakan perniagaan yang menguntungkan pada jangka panjang walaupun berdepan pergolakan harga minyak yang tidak menentu khususnya pada Jun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan Seng, Datuk Seri Lim Chin Hui yang mengusahakan 300 stesen minyak berkata, walaupun banyak stesen minyak gagal memperoleh keuntungan pada bulan Jun, tetapi ia dipercayai hanya merupakan fenomena sementara.
Beliau berkata demikian kepada China Press sebagai mengulas laporan bahawa sebanyak 80 stesen minyak terpaksa menggulung tikar dalam tempoh dua tahun kerana berdepan kerugian ekoran pergolakan harga bahan api.
Chin Hui berkata, pengusaha stesen minyak tidak dibenarkan menamat perniagaan secara sesuka hati kerana ia tertakluk kepada Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 yang antaranya bertujuan menjamin bekalan bahan api kepada pengguna.
Jelasnya lagi, sebanyak 15 stesen minyak Caltex yang ditutup pada akhir bulan Jun adalah disebabkan kontrak mereka dengan Chevron telah sampai tempoh akhirnya dan memperoleh kelulusan penutupan daripada kerajaan.
Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 4,000 buah stesen minyak di seluruh negara dengan persaingan antara lima jenama terkenal iaitu Shell, Petronas, Caltex, BHP dan Petron.
Menurutnya lagi, stesen minyak masih menjanjikan keuntungan jika ia diusahakan secara baik.
Chin Hui bagaimanapun menggesa kerajaan mengkaji semula kadar komisen yang diperoleh pengusaha stesen minyak yang mana ia diperhitungkan berdasarkan jumlah liter petroleum yang dijual dan bukannya berdasarkan peratusan keuntungan.
Katanya, sesebuah stesen minyak yang mempunyai stok berjumlah banyak boleh kehilangan beribu-ribu ringgit semalaman jika harga jualan diturunkan tujuh sen seliter. – MalaysiaGazette