Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Hari Raya PNB 2017 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 04 JULAI 2017

KUALA LUMPUR -Kedudukan kukuh ringgit akan lebih baik sekiranya fokus diberikan untuk meningkatkan pendapatan syarikat-syarikat korporat.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd., Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, keuntungan korporat yang lebih tinggi membolehkan mereka memberikan pulangan dan dividen yang baik kepada pemegang saham.

Ini sekaligus akan merancakkan lagi pasaran saham tempatan.

“Kedudukan ringgit memang sudah baik tetapi apa yang paling penting adalah fokus kepada meningkatkan prestasi korporat.

“Kita perlu pastikan syarikat-syarikat kita mendapat keuntungan yang dan seterusnya memberi pulangan serta dividen yang positif kepada pemegang saham.

“Ini akan meningkatkan pelaburan masuk ke dalam negara dan ia pastinya akan mengukuhkan lagi kedudukan ringgit,” katanya ketika mengulas mengenai laporan Bloomberg yang mengatakan ringgit bakal menjadi matawang paling kukuh dalam suku ini dan standing dengan mata wang China.

Terdahulu Abdul Wahid menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran PNB di sini petang tadi. – MalaysiaGazette