Penyerang antarabangsa Mexico, Javier Hernandez menyertai West Ham secara rasmi malam tadi. the Sun

LONDON – West Ham United mengumumkan pembelian penyerang Bayer Leverkusen, Javier Hernandez malam tadi.

Bekas bintang Manchester United itu kini merupakan pemain termahal dalam sejarah kelab itu.

Hernandez yang juga dikenali sebagai Chicharito telah menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan pendapatan £140,000 seminggu.

Penyerang antarabangsa Mexico itu merupakan pemain terbaharu di West Ham selepas penjaga gol Manchester City, Joe Hart, Marko Arnoutovic dan Pablo Zabaleta berhijrah ke kelab tersebut

Bercakap kepada laman web rasmi kelab itu: “Saya sangat gembira menyertai West Ham United.

“Untuk saya Liga Perdana Inggeris (EPL) merupakan liga terbaik dunia dan apabila peluang hadir, saya agak teruja menyertai kelab ini.

“Ia bukan satu keputusan yang sukar memandangkan West Ham merupakan sebuah kelab yang bersejarah dan bercita-cita tinggi.

“Dengan pemain yang mereka beli kali ini, kita boleh menjangkakan musim hebat untuk kelab ini,” katanya.

Hernandez menganggap tindakan kembali semula ke England adalah babak paling besar dalam kariernya walaupun berpeluang beraksi dalam liga Jerman dan Sepanyol.- MalaysiaGazette