Gambar Arkib

KUALA LUMPUR – Lapan syarikat telah menunjukkan minat dan mendaftar untuk menjadi pemaju utama projek Bandar Malaysia.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan bagaimanapun menyerahkan keputusan untuk memilih pemaju utama bagi projek bernilai RM12.35 bilion itu kepada ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, terdapat lapan syarikat yang telah menghantar kertas cadangan masing-masing.

“Pada akhir bulan ini atau awal bulan depan, mereka akan duduk dan membuat pernilaian,” katanya yang merujuk kepada Tan Sri Irwan Serigar yang juga Pengerusi Bandar Malaysia.

Johari bercakap kepada media selepas menghadiri Invest Malaysia 2017 di sini hari ini.

Awal bulan ini, proses meminta kertas cadangan (RFP) untuk memilih pemaju Bandar Malaysia telah dibuka.

Ini bagi menggantikan konsortium IWH-CREC Sdn. Bhd. yang telah ditamatkan perjanjian oleh TRX City Sdn. Bhd. pada Mei lalu berikutan kegagalan mereka memenuhi tanggungjawab pembayaran mengikut perjanjian jual-beli. – MalaysiaGazette