Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar. foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2017.
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa tidak memilih kes-kes berprofil tinggi sahaja untuk menyegera dan melakukan siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa khususnya melibatkan pemimpin politik.
Presiden Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, suruhanjaya itu perlu memaklumkan perkembangan terkini siasatan mereka khususnya melibatkan kerajaan Selangor dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Pada 30 Mei 2016 Rafizi Ramli telah menghantar maklumat berkaitan salah guna kuasa melibatkan wang dan wanita kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Namun sehingga kini, hampir setahun kita masih tidak dengar lagi apa-apa perkembangan, sebab itu kita tampil hari ini meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memberitahu, perkembangan terkini dakwaan Rafizi Ramli,” katanya kepada pemberita luar pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar (tengah) menunjukkan memorandum mengenai amalan rasuah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan salah guna kuasa, Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang akan diserahkan kepada SPRM pada sidang media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2017.
Terdahulu, Zulkarnain menyerahkan memorandum kepada Timbalan Pengarah (Bahagian Komunikasi Strategik), Kamaruddin M. Ripin meminta penjelasan mengenai perkembangan siasatan berhubung dua kes salah laku rasuah melibatkan dua pemimpin pembangkang.
Dua dakwaan rasuah itu ialah Naib Presiden PKR itu mendedahkan wujudnya amalan rasuah wang dan wanita membabitkan pimpinan kerajaan Selangor serta salah guna kuasa Shafie Apdal dalam pemberian projek bernilai RM53 juta kepada Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, dakwaan Rafizi itu tidak boleh dipandang mudah oleh SPRM dan beliau yakin ahli Parlimen Pandan itu mempunyai maklumat yang membantu siasatan pihak berkuasa itu.
“Dakwaan Rafizi pula langsung tidak dinafikan oleh Kerajaan Selangor sama ada melalui laporan polis, fitnah dan sebagainya. Harus diingat Selangor mempunyai simpanan rizab terbesar di Malaysia.
“Sebab itu kita khuatir, kalau SPRM tidak menjalankan siasatan, ia akan jadi macam kes Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly yang sudah dihadapkan ke mahkamah kerana rentetan daripada dakwaan Rafizi,” tegasnya.
Zulkarnain tidak mempertikaikan kredibiliti SPRM dalam menjalankan siasatan itu namun sebagai rakyat Malaysia, beliau dan rakyat berhak mengetahui perkembangan kes terbabit.
“Saya sendiri sebagai pengadu telah tampil memberikan maklumat mengenai salah guna kuasa Shafie Apdal. Sejak Mac hingga kini, belum ada apa-apa lagi perkembangan kes ini, malah Shafie Apdal serta Peter Anthony belum pun dipanggil oleh SPRM
“Selaku pengadu, kami mempunyai asas untuk bertanya kerana Shafie Apdal dan Peter Anthony ini mempunyai hubungan cukup rapat dan pemberian projek ini bukan kecil,” jelasnya.
Katanya lagi, pihaknya mencadangkan agar SPRM menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menyiasat dua dakwaan jenayah rasuah dan salah guna kuasa itu.
“Ini memandangkan kami agak khuatir kerana Selangor mempunyai rizab kewangan yang banyak sejak negeri itu ditadbir di bawah Kerajaan Barisan Nasional sebelum 2008.
“Kami berharap SPRM dapat mengambil perhatian yang sewajarnya terhadap kes khususnya melibatkan Kerajaan Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette.