Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek (tengah) mengatakan sesuatu kepada sebahagian jemputan kenamaan sambil diperhatikan Pengerusi Sphere Exhibits Malaysia Sdn Bhd, Chua Wee Phong (dua kiri) ketika melihat aplikasi ‘Verify Halal’ yang dilancarkannya sempena Pameran Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2017.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangkakan perolehan jualan mencecah RM30 juta sepanjang empat hari pesta Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK17) berlangsung dari 28 September hingga 1 Oktober ini.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Nogeh Gumbek, jumlah itu berdasarkan jangkaan pengunjung yang disasarkan lebih setengah juta orang dengan penyediaan kira-kira 600 gerai oleh jabatan dan agensi bawah kementerian itu.

Kata beliau, dengan tema “Makanan Kita, Masa Depan Kita”, HPPNK17 adalah satu platform kerajaan untuk menghargai dan meraikan mereka yang terlibat dalam penyediaan makanan di semua peringkat.

“Daripada pengeluaran iaitu petani, penternak dan nelayan sehingga kepada golongan yang memproses, memasak dan menghidangkan makanan. Ini juga menonjolkan segala teknologi dan inovasi yang digunakan dalam industri makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan aplikasi ‘Verify Halal’ sempena Pameran Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2017 di Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Nogeh yang mewakili menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, HPPNK17 yang berlangsung di MAEPS Serdang menjanjikan keistimewaan kepada pengunjung untuk menerokai dunia makanan dari ladang dan lautan ke meja hidangan.

Katanya, selain jabatan dan agensi kerajaan, beberapa pihak swasta dan organisasi dalam industri juga turut tidak melepaskan peluang terlibat dalam HPPNK17 yang dijangka mendapat sambutan hangat ini.

Setakat ini, ujar beliau, jumlah tajaan sebanyak RM1.4 juta telah diterima pihaknya dari Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Agrobank, Affin Bank, CIMB Islamic Bank, RHB Banking Group, Seleraku Trading, Green World Genetic Sdn Bhd dan Asia Tank Trading (M) Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette