Sharihan Jani

JOHOR BHARU – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang, Sharihan Jani menyelar tindakan Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim berhubung status yang dimuat naik pada akaun Facebook miliknya berhubung gambar yang menunjukkan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khalid Noordin yang duduk bersendirian di majlis pernikahan Tunku Aminah.

Menurut Sharihan, tindakan Hassan itu menunjukkan betapa pembangkang di negeri tersebut kehabisan modal politik sehingga menggunakan isu picisan berkenaan sebagai modal serangan.

Ia juga menurut Sharihan, merupakan tindakan berniat jahat daripada pembangkang Johor yang cuba melagakan kerajaan negeri dengan pihak istana.

“Tindakan Pengerusi PKR Johor mengeluarkan pernyataan berhubung MB Johor yang dikatakan duduk bersendirian semasa majlis pernikahan Tunku Aminah baru-baru ini menunjukkan sikap pembangkang yang bankrap isu.”

Dalam kenyataannya, Sharihan turut menasihatkan ahli politik pembangkang Johor supaya tidak bertindak seperti ‘tentera siber’ murahan ketika berpolitik.

Pembangkang di negeri itu sepatutnya menjadi pembangkang yang lebih matang dan bukan hanya mengeksploitasi isu-isu picisan semata-mata sebagai modal politik, tambahnya.

“Bangsa Johor yang menjunjung semangat muafakat Johor sentiasa menghormati institusi Raja. Sinergi antara Institusi Raja dan Kerajaan Negeri serta rakyat merupakan nadi utama pemangkin kepada kepesatan pembangunan Johor yang menjadi teras kepada gagasan Johor Berkemajuan.

“Rakyat Johor mengecam sekeras-kerasnya tindakan Hassan Karim tersebut yang jelas menghina protokol istana Johor,” tambahnya. – MalaysiaGazette