Phee Boon Poh

GEORGE TOWN – Anggota exco kerajaan Pulau Pinang Phee Boon Poh hari ini mendedahkan minit mesyuarat berhubung kilang yang beroperasi secara haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam dan menegaskan beliau telah menjalankan tanggungjawabnya sebaik aduan dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri itu berkata minit bertarikh 6 Mei 2015 tersebut, direkodkan semasa satu mesyuarat yang diadakan untuk membincangkan tentang kilang haram berkenaan dan turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Norlela Ariffin serta wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Semasa mesyuarat itu saya memohon supaya kilang itu diletakkan di bawah pemutihan bagi memastikan ia menjalankan proses secara mesra alam dan mematuhi semua keperluan seperti penggunaan alat perlindungan keselamatan memandangkan ia pernah mendapat lesen Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan kedudukan jauh dari kediaman.

“Pengusaha kilang pernah mempunyai lesen semasa beroperasi di Alma namun setelah diarah berpindah, lesen itu secara automatik terbatal dan pengusaha tidak memohon lesen baharu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga memohon agar siasatan terperinci diadakan bagi menentukan sama ada operasi di kilang yang terletak kira-kira 500 meter dari kediaman itu mencemari alam sekitar dan menyebabkan penyakit kepada penduduk.

Phee berkata setiap tindakannya itu dibuat hasil perbincangan dengan ADUN Penanti yang berpendapat kilang tersebut menimbulkan gangguan kepada penduduk sekitar dan Norlela turut memaklumkan yang beliau telah melawat kilang itu pada 18 Feb 2015.

Sementara itu Phee berkata JAS pada mesyuarat itu juga memaklumkan bahawa ia telah melawat kilang berkenaan dan mendapati tiada pencemaran berlaku kerana terdapat tirai atau penghadang di bahagian atas yang menghalang asap dan habuk daripada keluar dari kilang berkenaan.

“Bagaimanapun kilang itu tidak mempunyai lesen, tapi JAS boleh menyokong operasi kilang itu jika aktiviti pembakaran habuk kayu dibuat secara tertutup dan memastikan alat kawalan keselamatan digunakan,” katanya merujuk kepada minit mesyuarat berkenaan.

Phee berkata mesyuarat kemudian memutuskan tindakan kompaun atas kesalahan menjalankan perusahaan habuk kayu tanpa lesen mengikut prosedur MPSP dikenakan terhadap pengusaha dan tindakan mahkamah akan diambil jika pengusaha masih meneruskan aktiviti kilang tanpa lesen.

Phee sebelum ini ditahan SPRM pada 11 Ogos lepas ketika memberi keterangan berhubung operasi kilang haram itu di pejabat SPRM Pulau Pinang di sini.

ADUN DAP Sungai Puyu itu kemudian ditahan reman selama lima hari bermula 12 Ogos lepas bagi membantu siasatan kes berkenaan tetapi dibebaskan tiga hari kemudian selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan semakan semula untuk membatalkan perintah reman terhadapnya.- BERNAMA