Home Dunia AS larang kemasukan warga Korea Utara

AS larang kemasukan warga Korea Utara

WASHINGTON – Amerika Syarikat telah meluaskan larangan perjalanan bagi kemasukan warga Korea Utara, Venezuela dan Chad.

White House berkata, sekatan itu susulan kajian semula perkongsian maklumat oleh kerajaan-kerajaan asing.

Arahan itu diisytiharkan oleh Presiden Donald Trump.

“Memastikan Amerika selamat adalah keutamaan nombor satu saya. Kita tidak boleh membenarkan mereka ke negara ini,” kata Trump.

Sebelum ini, Trump mengeluarkan larangan sama kepada warga Iran, Libya, Syria, Yaman dan Somalia.

White House berkata, Korea Utara tidak bekerjasama dengan kerajaan Amerika Syarikat “dalam apa jua hal” untuk semua syarat kemasukan.

Chad, yang merupakan rakan anti-keganasan yang penting, tidak berkongsi maklumat yang berkaitan dengan keganasan dan lain-lain maklumat Amerika Syarikat diperlukan, katanya.

Manakala Venezuela, yang baru-baru ini dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat, tidak bekerjasama “dalam mengesahkan sama ada rakyatnya menimbulkan ancaman keselamatan negara atau keselamatan awam” dan tidak menerima warga negara yang dihantar balik dengan rela.

Dalam lembaran fakta pengisytiharan Encik Trump, White House berkata, walaupun Iraq juga tidak memenuhi kriteria yang diperlukan, negara itu tidak termasuk dalam sekatan baru kerana hubungan kerjasama yang rapat antara Amerika Syarikat dan kerjasamanya dalam memerangi militan. – MalaysiaGazette