Sesi fotografi bersama artis baru, Muiz di studio Malaysia Gazette. foto AFFAN FAUZI, 14 SEPTEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Masa boleh merubah segalanya. Bermula dengan menyanyi suka-suka di laman sosial, kini dia menjadi penyanyi baharu dalam dunia seni suara.

Bagi Muiz Mutalib, bergelar artis rakaman adalah cabaran besar baginya sekali pun telah agak lama menyanyi sejak berusia 12 tahun.

Anak muda berusia 19 tahun itu menganggap lamaran daripada BC Music Nusantara pada awal tahun ini sebagai rezeki yang tidak disangka buat dirinya.

Namun mungkin ramai yang tertanya-tanya sejauh mana jejaka kelahiran Batu Berendam, Melaka ini mampu melangkah dalam bidang yang penuh persaingan pada hari ini.

Dengan kehadiran berpuluh artis baru di persada seni ketika ini, Muiz tetap yakin dan positif bahawa masih ada ruang untuk dia menapak dan mencatat nama sebagai artis dikenali ramai.

“Jika saya berusaha lebih, peluang akan datang juga akhirnya.

“Saya bukan sahaja menjadi penyanyi, malah lebih daripada itu dengan pelbagaikan bakat seni yang ada,” jelas Muiz yang baru muncul dengan single pertama berjudul Pelangi Indah.

Muiz Mutalib baru muncul dengan single pertama berjudul Pelangi Indah.

Pengalaman menganggotai sebuah kumpulan seni cak lempong dan boleh bermain gitar juga antara bekalan Muiz untuk mewarnai bidang seni suara ini.

Menyingkap kembali detik awal yang membawa dia menjadi artis rakaman, anak kedua itu berkata, bakatnya mula ditonjolkan apabila gemar menyanyi di Youtube.

“Saya tidak pernah menyangka akan diberi peluang untuk menjadi artis rakaman. Tetapi menyedari bakat yang ada dalam diri, saya perlu bersedia menyahut cabaran biarpun ramai artis baharu yang makin popular sekarang,” tegasnya.

Kerana itu dia memberanikan diri untuk mencuba sesuatu yang dianggap baru baginya.

Meskipun sudah ada pengalaman menyanyi, bagi Muiz dia merasakan kerjaya sebagai penyanyi baru bermula dengan peluang ini.

Ini kerana terdapat banyak perbezaan antara menyanyi di laman sosial dan menyanyi untuk dirakamkan.

“Menyanyi di media secara langsung tetapi proses rakaman amat berlainan. Bagaimanapun, setelah menjadi artis rakaman, peluang akan lebih luas terbuka dan lebih banyak orang dapat menilai keupayaan saya,” katanya lagi.

Tidak seperti artis baru lain yang terus merakamkan album solo, keupayaan Muiz hanya akan teruji apabila dia bakal mencipta lagu sendiri untuk single keduanya nanti.

Muiz kini giat mempromosikan single pertamanya di stesen radio negeri di sebelah selatan tanahair.

“Biar lagu saya popular secara perlahan. Janji ada yang sudah tahu lagu saya telah dimainkan di corong radio,” katanya tersenyum.- MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.